KOTA KINABALU, 11 Mac 2014 – Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM978,156.25 bagi tahun 2013 kepada Pusat Zakat Sabah, dalam satu majlis ringkas di sini.
Pembayaran zakat bagi Negeri Sabah tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding RM848,899.59 pada 2012. Peningkatan peratusan ini merupakan yang kedua tertinggi selepas Wilayah Persekutuan (18 peratus) bagi tahun 2013.
Pembayaran zakat perniagaan TH telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Kamarudin Mat Ali, Ketua Pegawai Operasi TH kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin, Yang Di-Pertua Negeri Sabah.
Jumlah keseluruhan zakat perniagaan TH untuk tahun kewangan 2013 yang akan dibayar kepada negeri-negeri di Malaysia adalah sebanyak RM46.29 juta berbanding RM41.21 juta (2012). Peningkatan jumlah keseluruhan pembayaran zakat ini adalah sejajar dengan prestasi pendapatan keseluruhan TH yang memberangsangkan bagi 2013. Negeri Sabah merupakan negeri ke-enam dalam siri jelajah penyerahan zakat Perniagaan TH pada tahun ini. Bagi Negeri Sabah, pengagihan zakat yang diterimanya bagi tempoh tiga tahun berturut-turut adalah RM978,156.25 (2013), RM848,899.59 (2012) dan RM781,521.00 (2011).
Pembayaran zakat perniagaan merupakan kewajipan dan tanggungjawab TH sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam, selain memperlihatkan keprihatinannya sebagai sebuah institusi Islam ikonik negara dalam melestarikan ekonomi dan menjamin kemaslahatan ummah khususnya golongan asnaf.
Selain pembayaran kepada pusat-pusat zakat, TH turut mengagihkan zakatnya secara terus kepada golongan asnaf di seluruh negara melalui program-program tanggungjawab korporat yang disusun atur sepanjang tahun bagi golongan tersebut seperti Program Ehsan, Program Iqra’ dan Program Baiti.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah YB. Datuk Mohd Suhaili Haji Said, Pengerusi, Majlis Ugama Islam, Sabah, Tuan Haji Mohd Zaratkhan Haji Abd Rahman, YBhg. Datin Nurlaila Said, Pengarah TH Negeri Sabah, pegawai-pegawai Pusat Zakat Sabah dan TH.
-Tamat-