KUALA LUMPUR, 28 FEBRUARI 2023 – Lembaga Tabung Haji (TH) mengalu-alukan kedatangan Tuan Yang Terutama Dr Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi dalam lawatan rasminya ke Malaysia minggu ini.
Dalam lawatan rasmi selama tiga hari itu, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi juga berkesempatan untuk menyaksikan perjalanan Kursus Asas Haji anjuran TH kepada kira-kira 1,500 bakal jemaah haji Malaysia yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Beliau diiringi oleh Dato' Setia Dr Mohd Na'im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Hal Ehwal Agama) bersama Pengurusan Kanan TH.
Awal tahun ini, TH telah berjaya memperoleh Anugerah Labaittom Arab Saudi bagi Program Bimbingan Haji Terbaik Dunia Islam semasa Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Haji dan Umrah di Jeddah atas usaha TH dalam menyediakan bimbingan haji yang komprehensif dan menyeluruh bagi jemaah haji Malaysia untuk menunaikan haji.
Dr Tawfiq Al-Rabiah juga memuji TH sebagai institusi Islam contoh yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam pengurusan haji.
“Kami kagum dengan cara TH memberi bimbingan ibadat haji yang menyeluruh kepada bakal-bakal haji, melibatkan bimbingan teori dan praktikal. Jemaah Haji Malaysia juga terkenal berpengetahuan luas dalam ilmu haji dan amat berdisiplin,” kata Dr. Tawfiq Al-Rabiah.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Dato’ Sri Amrin Awaluddin berkata, “Lawatan ini mencerminkan hubungan rapat antara kedua-dua negara. Kami amat menghargai sokongan kukuh berterusan Arab Saudi semasa operasi haji setiap tahun yang membolehkan TH menyediakan perkhidmatan haji terbaik kepada jemaah haji negara”.
Dr Tawfiq Al-Rabiah turut merasmikan Program Kesedaran Haji yang berlangsung di Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen (MHCC) KLIA. Di bawah program itu, Kementerian Haji Arab Saudi akan menyediakan maklumat berkaitan musim haji yang akan datang, termasuk langkah-langkah kesihatan dan keselamatan awam untuk jemaah haji.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Timbalan Menteri Umrah Arab Saudi, Abdulaziz Abdulraheem Wazzan, Timbalan Menteri Perkhidmatan Haji dan Umrah, Amr Reda R Al-Maddah, Timbalan Menteri Kerjasama Antarabangsa, Alhasan Yahya S Allamnakhrah, Datuk Bandar Al Madinah Almunawarah Wilayah, Fahad Albuliheshi dan Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al-Sulaim. Mereka disertai olehPengerusi TH, Tan Sri Azman Hj Mokhtar, Pengarah Eksekutif Haji Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, serta ahli-ahli Jawatankuasa Penasihat Haji.
-Tamat-