KUALA LUMPUR, Selasa, [11 Februari 2020]: Bank Islam Malaysia Berhad (“Bank Islam”) hari ini melancarkan Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji, hasil usaha sama dengan rakan strategiknya iaitu Lembaga Tabung Haji (“Tabung Haji”) dan Visa.
Kad Debit-i ini dilengkapi dengan pelbagai keistimewaan dan ganjaran eksklusif untuk para pemegang kad. Selain menawarkan rangkaian pembayaran dan akses tunai yang meluas di seluruh dunia, ia juga memudahkan urusan transaksi kewangan bagi jemaah Haji ketika berada di Arab Saudi.
Majlis pelancaran kad tersebut berlangsung di Hotel Dorsett Putrajaya telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir, Yang Berbahagia Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji; Encik Mohd Muazzam Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad; Puan Mandy Lamb, Pengurus Negara Kumpulan, Rantau Asia Tenggara Visa dan Encik Ng Kong Boon, Pengurus Negara Visa Malaysia.
Encik Mohd Muazzam berkata, “Sebagai peneraju perkhidmatan kewangan Islam di Malaysia, misi utama kami adalah untuk menyediakan penyelesaian kewangan yang relevan bagi memenuhi keperluan setiap pihak berkepentingan. Oleh itu, jalinan kerjasama strategik bersama Tabung Haji dan Visa adalah penting bagi memastikan kami dapat memberikan nilai tambah kepada golongan sasaran, khasnya pendeposit Tabung Haji yang belum mempunyai Akaun Simpanan atau Semasa dengan Bank Islam.”
Siaran Media_Pelancaran Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji - FINAL pdf.pdf