TELUK INTAN, 2 FEBRUARI 2016 – Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan lima buah rumah projek bantuan perumahannya kepada lima keluarga asnaf terpilih dari daerah Hilir Perak, Teluk Intan dibawah Projek Baiti TH dalam satu majlis penyerahan ringkas hari ini.
Projek Baiti yang dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) ini memperuntukkan bantuan berjumlah RM200,000.00 untuk penerima asnaf yang terpilih dan layak di peringkat negeri Perak bagi tahun 2014 dan 2015, di dua daerah terpilih iaitu di daerah Teluk Intan dan Gerik (empat buah rumah). TH dengan kerjasama MAIPk telah berjaya membina dan menyiapkan sembilan unit rumah bagi tempoh dua tahun ini dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM400,000.00 dibawah projek ini.
Majlis simbolik penyerahan rumah berkenaan telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Nawawi Ishak, Pengarah TH Negeri Perak di Kampung Pulau Ganda Suli, Hutan Melintang, Teluk Intan. Turut hadir menyaksi dan menyerikan majlis serahan tersebut ialah YBrs. Dr. Amiruddin bin Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Projek Baiti ini adalah antara Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TH yang dijalankan setiap tahun bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk membaikpulih atau membina semula rumah kediaman mereka. Program ini memperlihatkan keprihatinan TH sebagai sebuah institusi Islam ikonik negara dalam melestarikan ekonomi ummah khususnya golongan asnaf. Selain itu, program ini juga sebagai platform bagi TH untuk mendekati serta berkongsi pulangan yang diperolehi dengan golongan yang memerlukan sejajar dengan visi TH iaitu ‘Tonggak Kejayaan Ekonomi Ummah’.
Pada 2014, TH telah memperuntukkan RM1.25 juta untuk pembinaan 22 buah rumah sekitar Selangor, Kelantan, Johor, Perak dan Kedah serta baikpulih sebuah masjid di Malaysia. TH berharap sumbangan melalui Projek Baiti dapat mencetus dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi dan kehidupan golongan sasaran kepada satu tahap kehidupan yang lebih baik.
Turut hadir pada majlis penyerahan tersebut adalah Tuan Haji Zamari bin Mohd Ramli, Pegawai Daerah Hilir Perak; Encik Saiful Nizam bin Not, Pegawai Baitulmal Daerah Hilir Perak, Ketua-ketua kampung dan pegawai-pegawai TH.
- Tamat –