KUALA LUMPUR, 5 Januari 2021 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan dua (2) lantikan baharu pengurusan kanannya iaitu Ketua Pegawai Risiko & Pematuhan dan Ketua Pegawai Audit & Integriti.
Encik Syahril Nizam Abu Hasan dilantik sebagai Ketua Pegawai Risiko dan Pematuhan berkuat kuasa 4 Januari 2021. Beliau memegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang risiko dan pematuhan. Beliau juga merupakan ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan The Institute of Enterprise Risk Practitioner (IERP). Sebelum menyertai TH beliau telah berkhidmat selama lapan (8) tahun di Manulife serta memegang beberapa portfolio penting seperti Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Risiko Manulife. Encik Syahril juga pernah berkhidmat di Maybank, Bursa Malaysia dan juga RHB Bank Berhad.
Encik Azirruan Arifin pula telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Audit dan Integriti berkuat kuasa 28 Disember 2020. Beliau adalah merupakan Ketua Pegawai Audit Dalam di Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebelum menyertai TH. Selain daripada itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Perkhidmatan Guna Sama dan Ketua Pegawai Risiko di Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) serta di beberapa organisasi lain seperti Malaysia Airlines Berhad dan Bank Negara Malaysia. Beliau memegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perakaunan daripada UiTM dan merupakan ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) serta ahli professional yang diperakui Certified Business Continuity Professional (Disaster Recovery Institute International).
YBhg. Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusof, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH berkata, pelantikan kedua-dua pengurusan kanan yang baharu ini telah mengambil kira pengalaman dan kemahiran yang mereka miliki selaras dengan usaha TH untuk mengukuhkan kepimpinan profesional dan menjadikan TH sebuah institusi Islam yang dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus yang baik.
-Tamat-