SHAH ALAM, 14 DISEMBER 2024 – Lembaga Tabung Haji (TH) menyalurkan sumbangan sebanyak RM900,000 kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam menerusi program Iqra’ TH hari ini.
Inisiatif program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TH ini akan memberikan manfaat kepada seramai 1,523 orang pelajar Diploma dan Ijazah daripada keluarga asnaf di UiTM Shah Alam.
Sumbangan ini diberikan sebagai wang bantuan sara diri secara ‘one-off’ di antara RM500 hingga RM600 seorang dan akan dikreditkan terus ke akaun Tabung Haji para penuntut terpilih.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan bebanan kewangan ibu bapa dan penjaga di samping membangunkan semangat para penuntut untuk belajar dengan lebih tekun dalam meningkatkan taraf pencapaian akademik mereka.
Beliau turut menyeru para penerima manfaat untuk menggunakan sumbangan ini dengan sebaik-baiknya demi kecemerlangan pelajaran masing-masing.
YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im juga berharap agar Program Iqra’ TH ini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam membantu lebih ramai pelajar asnaf yang memerlukan agar mereka dapat meneruskan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi, seterusnya menyumbang kepada pembangunan agama, bangsa, dan negara.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri mencontohi program Iqra’ TH dalam usaha membantu mengurangkan jurang pendidikan dan meringankan beban kewangan para pelajar daripada golongan asnaf fakir miskin ini dan yang memerlukan,”kata beliau ketika berucap di Majlis Penyerahan Sumbangan Program Iqra’ TH IPTA yang diadakan di Dewan Annex UiTM, Shah Alam pada hari ini.
Majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman, dan Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin serta barisan pengurusan TH dan UiTM, Shah Alam.
-TAMAT-