Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengadakan Majlis Perasmian Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-35 bagi Musim Haji 1440H bertempat di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA. Majlis perasmian ini disempurnakan oleh YB. Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Muzakarah Haji yang berlangsung selama tiga (3) hari bermula dari 9 sehingga 11 November 2018 ini, memberi peluang kepada lebih daripada 300 para Pengkursus Ibadat Haji dan ilmuan agama berkongsi ilmu dan pengalaman menetapkan keseragaman hukum-hakam dan mencari penyelesaian terbaik berkaitan ibadat haji, umrah dan ziarah demi kepentingan umat Islam di negara ini semasa melaksanakan ibadat di Tanah Suci.
YB. Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata Pengkursus Ibadat Haji perlu juga memberi kefahaman kepada masyarakat dengan pendekatan berteraskan Rahmatan Li Alamin secara terperinci oleh kerana haji merupakan ibadat agung yang turut disertai oleh Umat Islam dengan pelbagai latar belakang bangsa dan warna kulit dari seluruh dunia untuk melaksanakan rukun Islam kelima.
Tambahnya lagi, Pengkursus Ibadat Haji juga hendaklah bersepakat dan berpegang teguh kepada resolusi yang telah dipersetujui dalam Muzakarah Haji ketika memberi penerangan berkaitan hukum-hakam kepada para jemaah haji.
Sebanyak tujuh (7) kertas kerja dibentang dan dibincangkan dalam sepanjang muzakarah ini oleh Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji yang mempunyai pengetahuan luas dalam melaksanakan ibadat haji.
Muzakarah Haji kali ini turut dihadiri YBhg Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Ketua Rombongan Haji Malaysia; Ahli-Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji serta pegawai-pegawai TH.
10112018_PR-TH Anjur Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-35.pdf