SEPANG, SELANGOR, SABTU, 18 OKTOBER 2014: Yang Berhormat Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) pada hari ini menziarahi keluarga Allahyarham Salleh Mohamed Ja’afar, 72, di Lot 143, Kampung Abdul Rahman, Sungai Pelek, 43950 Sepang, Selangor.
Allahyarham Salleh Mohamed Ja’afar dilaporkan telah meninggal dunia pada 16 Oktober 2014 jam 3.00 petang (waktu Saudi) akibat jangkitan kuman dalam darah dan paru-paru. Jenazah Allahyarham telah diuruskan oleh para petugas TH di Makkah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara’ek, Makkah.
Yang Berhormat Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dalam kenyataanya yang mewakili seluruh warga kerja TH merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Salleh Mohamed Ja’afar. Beliau berharap semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian dan kehilangan insan tercinta. Beliau juga turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, mendapat keampunan Allah SWT, serta ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh.
Dalam lawatan yang sama, Yang Berhormat Datuk Azeez Abdul Rahim turut menyampaikan bantuan khairat kematian sumbangan TH kepada waris Allahyarham.
Turut serta dalam program ziarah ini adalah para pegawai serta kakitangan TH khususnya Negeri Selangor.
-TAMAT-