SEPANG, 13 Ogos 2022 – Operasi Musim Haji 1443H/2022M telah selesai dengan ketibaan penerbangan pulang kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia hari ini.
Seramai 284 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 1.30 tengahari menerusi penerbangan Malaysia Airlines (MH 8351) yang berlepas dari Madinah pada 12 Ogos 2022 jam 11.10 malam (waktu Arab Saudi).
Ketibaan kumpulan tersebut disambut oleh Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Azman Haji Mokhtar bersama Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin, Pengarah Eksekutif Haji TH merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman serta Pengurusan Kanan TH.
“Kesemua 14,305 jemaah haji Malaysia dan 340 petugas TH telah selamat pulang ke tanah air menerusi 49 penerbangan carter haji Malaysia Airlines dan Saudi Airlines bermula 17 Julai sehingga 13 Ogos,”kata Tan Sri Azman di KLIA hari ini.
“Alhamdulillah, secara keseluruhannya, kami amat bersyukur operasi haji kali ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden besar yang tidak diingini walaupun dalam keadaan endemik COVID-19. Selain itu, keadaan cuaca juga agak panas sehingga mencecah hampir 50 darjah celcius,”ujar beliau lagi.
“Pengurusan haji kita diiktiraf oleh Kerajaan Arab Saudi sebagai antara yang terbaik dan jemaah haji kita juga menerima pujian atas disiplin, berpengetahuan dan penumpuan kepada ibadat haji sepanjang berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah,” tambah beliau lagi.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin turut berkata, “TH akan sentiasa berusaha untuk menambah baik perkhidmatan kami kepada jemaah haji dan penilaian atas semua aspek operasi tahun ini akan dilaksanakan segera sebagai persiapan awal operasi musim haji tahun hadapan, 1444H/2023M,” kata beliau.
Semua Jemaah Haji Malaysia Selamat Pulang Ke Tanah Air, Operasi Haji Musim 1443H/2022M Selesai.pdf