Kuala Lumpur, 6 Julai 2013 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan hadiah berupa kereta Proton Preve kepada Johan Qari dan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-56 yang telah berlangsung pada 10 hingga 14 Jun 2013 di Balai Islam, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim.
Majlis penyerahan Proton Preve tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH kepada Johan Qari, Encik Anuar Hasin, 31, Perak, dan Johan Qariah, Puan Hanimzah Jalaluddin, 29, Pahang dalam satu majlis ringkas di Ibu Pejabat TH, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. TH merupakan penaja hadiah utama bagi Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali ke-56 tersebut yang menawarkan dua buah kereta Proton Preve (1.6 CVT Executive) berjumlah lebih daripada RM125,000.00.
TH mengambil inisiatif turut terlibat sebagai penaja hadiah bertujuan untuk meletakkan TH sebagai sebuah organisasi Islam di negara ini yang samasama menyemarak dan mengembangkan syiar Islam melalui acara tilawah Al-Quran, di samping mengimarahkan lagi pertandingan tersebut. Penajaan ini juga merupakan salah satu daripada aktiviti yang disusunatur sepanjang tahun ini bagi memeriahkan lagi sambutan ulang tahun jubli emas TH.
TH berharap dengan penajaan ini akan menarik lebih ramai penyertaan daripada pelbagai pihak khususnya para peserta dan syarikat serta badan korporat untuk turut sama menyokong usaha-usaha murni kerajaan dalam menyebarkan syiar Islam di negara ini.
-Tamat-