Melaka,18 Mei 2013 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menganjurkan Program Khidmat Komuniti “50 Jam SL1M-TH Bersama PAYASUM”. Program yang berlangsung selama tiga (3) hari bermula dari 17 Mei hingga 19 Mei 2013 bertempat di Lembaga Pengurusan Kebajikan Anak Yatim Miskin, Sungai Udang, Melaka (PAYASUM) ini, telah dirasmikan oleh YAB Datuk Wira Ir. Haji Idris b. Haji Harun, Ketua Menteri Melaka dan turut disaksikan oleh YBhg. Dato’ Kamarudin Mat Ali, Ketua Pegawai Operasi TH.
Program yang bertemakan “Semurni Hati Menabur Bakti” ini dikendalikan sepenuhnya oleh para pelatih Skim Latihan 1Malaysia Tabung Haji (SL1M-TH), Siri Ke-2 2012/2013. Program yang julung kalinya diadakan ini adalah sejajar dengan inisiatif penubuhan “1Malaysia For Youth” (IM4U) oleh kerajaan untuk menjana masyarakat lestari khususnya para belia agar lebih berketerampilan dan berkeperibadian mulia.
YBhg. Dato’ Kamarudin Mat Ali dalam ucapannya berkata, “Program khidmat masyarakat yang dijalankan oleh TH ini adalah bertujuan untuk membantu pelatih SL1M-TH melihat skop kehidupan sebenar masyarakat daripada sudut yang berbeza. Program ini memberi peluang golongan belia untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat terutama golongan yang memerlukan seperti anak-anak yatim di PAYASUM ini”.
Sepanjang tempoh tiga (3) hari program ini berlangsung, para peserta berpeluang mendekati serta mengeratkan hubungan dengan para penghuni PAYASUM melalui pelbagai aktiviti yang telah disusun atur, antaranya aktiviti
gotong royong, simulasi haji, pameran dan pembukaan kaunter oleh TH Melaka, aktiviti keagamaan dan kerohanian, sesi motivasi, program mentormentee, aktiviti sukan dan riadah.
Dalam majlis yang sama, TH juga turut menyumbangkan sejumlah RM10,000.00 serta barangan keperluan kepada PAYASUM bagi membantu penghunipenghuni pusat kebajikan tersebut. Program khidmat komuniti ini disertai oleh 80
orang pelatih SL1M-TH, 20 orang anggota TH serta 110 orang anak-anak yatim PAYASUM.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut adalah YBhg. Datuk Daud bin Arbah, Pengarah, Jabatan Kebajikan Negeri Melaka, YBhg. Tuan Haji Kasim bin Mohamad, Pengarah, Jabatan Pelajaran Melaka dan Pengurusan Kanan serta para pegawai TH.
- Tamat –