SEPANG, SABTU, 25 MAC 2023 – Lembaga Tabung Haji (TH) dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Malaysia (BUMITRA) bekerjasama dalam menjayakan Karnival Pengelola Jemaah Haji (PJH) selama dua hari bermula Sabtu, 25 Mac 2022 di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, Sepang yang bertemakan “Pilih Keselesaan, Pilih Pakej Haji”.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar telah hadir merasmikan Karnival yang julung-julung kali dianjurkan selain turut melancarkan Direktori PJH sebagai rujukan bakal jemaah haji.
Dalam ucapannya, YB Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im menegaskan tentang komitmen Kerajaan dalam memastikan urusan dan perkhidmatan haji yang diberikan kepada jemaah haji Malaysia, yang pergi dengan Muassasah dan pakej, pada setiap musim adalah pada tahap terbaik.
“Kerajaan memandang serius kes penipuan membabitkan rakyat Malaysia yang ingin menunaikan ibadat haji. Bagi menangani kes penipuan yang semakin berleluasa, Kerajaan telah bekerjasama erat dengan Tabung Haji, Polis Diraja Malaysia serta syarikat berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)”, tambah beliau.
Manakala itu, Pengerusi TH, Tan Sri Azman Haji Moktar berkata perkhidmatan PJH memberi peluang kepada agensi pelancongan Bumiputra Muslim untuk mengendalikan jemaah haji secara lebih profesional dan membolehkan TH mengawal selia keseluruhan pengurusan haji dengan efektif.
“TH akan terus berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua jemaah haji Muassasah, namun kami juga menggalakkan para bakal haji yang mempunyai kemampuan lebih dan mempunyai citarasa tertentu untuk menggunakan perkhidmatan pakej haji PJH untuk keselesaan mereka”, tambah Tan Sri Azman lagi.
Pelbagai aktiviti dan program bermanfaat telah dirancang untuk semua yang hadir termasuk kanak-kanak seperti simulasi haji, aktiviti praktikal ibadat haji serta program Bual Bicara yang membincangkan topik perjalanan dan ibrah haji. Orang ramai juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah lumayan melalui kuiz yang disediakan oleh pihak penganjur.
Pihak penganjur mensasarkan seramai 5,000 orang pengunjung bakal hadir memeriahkan Karnival PJH tersebut khususnya dari sekiar Lembah Klang dan Seremban.
Turut hadir semasa upacara pelancaran adalah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin, Pengarah Eksekutif Haji, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Presiden Bumitra, Tuan Haji Harun KC Ahmmu serta ketua-ketua agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
-Tamat-