Kuala Lumpur Sabtu, 18 Februari 2012, Mohd Amin bin Ahamad Sayuti dari Pulau Indah, Selangor dan Zulkarnain bin Safiei dari Bentong Pahang diumumkan sebagai pemenang utama Kuiz Bicara Haji anjuran Tabung Haji dan Utusan Malaysia bersempena Musim Haji 1432 hijrah/2011 yang lalu. Kedua-dua pemenang menerima hadiah pakej menunaikan umrah tajaan TH Travel & Services Sdn. Bhd yang bernilai RM12,000.
Menurut Dato’ Syed Saleh Abdul Rahman, Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji, objektif kuiz dianjurkan adalah bagi memupuk minat bakal-bakal haji dan juga pembaca akhbar Utusan Malaysia untuk mendalami ilmu serta hukum hakam berkaitan dengan ibadah haji.
Utusan Malaysia telah menyiarkan 12 artikel bicara haji mulai 13 September sehingga 30 September 2011. Artikel ini telah disumbangkan oleh Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji, pengkursus ibadah haji tanah air, doktor-doktor pakar dan kakitangan Bahagian Bimbingan Jabatan Haji.
Sebanyak 1,006 penyertaan diterima di mana 199 peserta telah menjawab dengan tepat. Juri telah memilih 12 pemenang berpandukan slogan yang kreatif. Dua peserta telah dinobatkan sebagai pemenang utama dan 10 pemenang hadiah saguhati menerima 1 set DVD Ibadah Haji serta langganan percuma selama setahun majalah Anis dan Asuh tajaan Galeri Ilmu Sdn Bhd bernilai RM350 untuk seorang pemenang.
Hadiah disampaikan oleh Dato’ Syed Saleh. Turut hadir Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Malaysia, Datuk Abdul Aziz Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn Bhd, Dato' Yasmin Dato’ Yazid dan Ahli Lembaga Pengarah Galeri Ilmu Sdn Bhd, Hajah Nik Aziah bt Haji Hamzah.
-Tamat-