KUALA LUMPUR, 15 FEBRUARI 2025 – Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan suntikan Vaksin Covid-19 bagi kumpulan sasar bakal haji untuk musim 1446H/2025M boleh mula diperolehi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara bermula 17 Februari 2025. TH turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan kerana berjaya memperoleh bekalan vaksin COVID-19 untuk manfaat bakal haji.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata selain suntikan Vaksin Meningococcal yang diwajibkan kepada semua Jemaah Haji, Kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Haji dan Umrah turut mewajibkan suntikan Vaksin Influenza dan Vaksin Covid-19 bagi kumpulan sasar iaitu bakal-bakal haji yang berumur 65 tahun dan ke atas, atau mempunyai penyakit kronik, atau mengalami masalah sistem imun rendah.
“Bagi memudahkan pelaksanaan pemberian vaksinasi Covid-19, bakal haji yang berumur 65 tahun dan ke atas yang telah lulus pemeriksaan kesihatan dan bakal haji yang ditandakan kod merah semasa pemeriksaan kesihatan, boleh hadir ke PPV yang berdekatan dengan lokaliti masing-masing bagi mendapatkan maklumat jadual pemberian Vaksin Covid-19 yang telah ditetapkan,” jelas beliau.
Sebanyak 247 PPV meliputi setiap negeri dan daerah telah dikenalpasti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melaksanakan Program Vaksinasi Covid-19 Jemaah Haji 1446H/2025 yang bertujuan memudahkan bakal haji mendapatkan suntikan tersebut di fasiliti yang berhampiran.
Bagi suntikan wajib Vaksin Influenza, bakal haji yang berumur 60 tahun ke atas dan mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik seperti kriteria KKM, boleh mendapatkan Vaksin Influenza di fasiliti kesihatan kerajaan terpilih seperti yang diumumkan oleh KKM baru-baru ini.
Manakala, bagi bakal haji yang lain pula dinasihatkan untuk segera mendapatkan suntikan tersebut di mana-mana fasiliti kesihatan swasta yang mempunyai akses kepada sistem MyVAS (bagi memudahkan memuatnaik Sijil Digital Vaksinasi ke aplikasi MySejahtera) atas tanggungan sendiri.
Bakal haji juga digalakkan untuk mengambil suntikan Vaksin Pneumococcal bagi perlindungan terhadap penyakit jangkitan pernafasan.
Kini, bakal haji tidak lagi perlu membawa buku atau kad vaksin secara fizikal ke Tanah Suci. Semua sijil vaksinasi yang diterima boleh dimuat turun melalui aplikasi MySejahtera bagi tujuan semakan oleh pihak berwajib Arab Saudi apabila diperlukan. Bagi memastikan Sijil Digital Vaksinasi boleh dikemukakan dengan segera, semua bakal haji digalakkan untuk memuat turun sijil tersebut sebelum berlepas ke Tanah Suci.
Bagi bakal haji yang mempunyai alahan terhadap mana-mana vaksin adalah digalakkan untuk berjumpa dengan mana-mana Pegawai Perubatan bertauliah bagi pengesahan dan sijil pengecualian vaksinasi akan dikeluarkan melalui aplikasi MySejahtera. TH akan melampirkan maklumat tersebut bagi tujuan pengesahan permohonan visa kepada Pihak Berkuasa Arab Saudi.
“Proses digitalisasi perkhidmatan kesihatan adalah salah satu bukti komitmen TH dalam usaha penambahbaikan berterusan bagi memudahkan urusan para jemaah haji negara. TH berterima kasih dan berbesar hati terhadap bantuan dan sokongan KKM dalam urusan perkhidmatan kesihatan Jemaah Haji di Tanah Air dan Tanah Suci,” tambah Syed Hamadah lagi.
Senarai PPV yang terpilih boleh diakses melalui aplikasi MySejahtera atau di laman sesawang TH www.tabunghaji.gov.my
-TAMAT-