KUANTAN, Sabtu, 2 Februari 2013: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini telah menganjurkan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan kali Ke-29. Muzakarah yang berlangsung selama empat (4) hari bermula dari 1 Februari hingga 4 Februari 2013 di Hotel Hyatt Regency, Kuantan Pahang, telah dirasmikan oleh YB. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Program muzakarah tahunan ini, adalah bertujuan untuk menyeragam dan menyelaras penyampaian hukum-hakam berkaitan Ibadat Haji, Umrah Dan Ziarah di Malaysia. Muzakarah kali ini juga akan membincangkan kaedah terbaik untuk meningkatkan keberkesanan bimbingan Ibadah haji kepada bakal Jemaah Haji.
Menurut Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor, Pengerusi TH, “Haji yang Mabrur adalah impian setiap bakal jemaah haji dan ianya harus dilakukan dengan penuh tertib seperti yang telah disyariatkan. Oleh yang demikian, bagi mencapai kesempurnaan ibadah haji tersebut, pengisian ilmu yang mantap mengenai setiap Rukun dan Wajib Haji, perlu diberi penekanan oleh para pembimbing kepada bakal-bakal jemaah sebelum berangkat ke tanah suci”.
Seramai 360 orang pembimbing Ibadah haji seluruh negara termasuk 13 orang deligasi dari negara luar seperti Indonesia, Singapura, Turki, Brunei dan Thailand telah menyertai Muzakarah kali ini.
Sebanyak empat (4) kertas kerja dibentangkan oleh (i) YBhg. Prof. Madya Dr. Raihanah binti Azahari - Permasalahan Pilihan Ibadat Haji Musim Haji 1433H, (ii) YBhg. Prof. Madya Dr. Anisah binti A. Ghani - Ziarah Madinah-Adab dan Kelebihan, (iii) YBhg. Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri - Tawaf Wada’: Falsafah dan Tuntutan Menurut Perspektif Pelbagai Mazhab, dan (iv) YBhg. Tuan Haji Razali bin Shahabudin - Pemurnian Aqidah Dalam Ibadat Haji dan Umrah.
Resolusi daripada perbincangan kertas kerja dan bengkel yang dilakukan sepanjang muzakarah berlangsung akan diguna pakai untuk membantu para pembimbing Ibadah Haji 1434 Hijrah memperkasa dan memantapkan kefahaman bakal jemaah haji sewaktu kursus-kursus haji dan umrah ditanah air.
Di dalam majlis yang sama, TH juga melancarkan buku „A Guide For Hajj, Umrah And Ziarah‟, iaitu buku panduan Ibadah Haji berbahasa Inggeris yang diadaptasi dari naskah “Buku Panduan Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah”. TH dan Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah berkerjasama menterjemahkan buku tersebut ke dalam bahasa Inggeris untuk dijadikan bahan rujukan kepada mereka yang lebih gemar memilih bahan bacaan di dalam bahasa tersebut bagi memudahkan dan meningkatkan pemahaman Ibadah Haji dan Umrah mereka.
Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor, Pengerusi TH, Sahibus Samahah Dato’ Seri Hassan bin Haji Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji, Tabung Haji -JAKIM, YBhg. Dato’
Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif TH dan YBhg. Dato’ Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengurus Besar Kanan , Jabatan Haji TH.
- Tamat -