KUALA LUMPUR, 20 DISEMBER 2023 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengalu-alukan pelantikan Tan Sri Abdul Rashid Hussain sebagai Pengerusi baharu, berkuatkuasa pada 20 Disember 2023.
Tuan Syed Hamadah Syed Othman, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH berkata, “TH mengalu-alukan pelantikan ini dan bersyukur kerana menerima tokoh yang dihormati dan berpengalaman khususnya dalam bidang perniagaan dimana beliau telah mengasaskan Kumpulan RHB, salah sebuah kumpulan perbankan terbesar negara. Kami yakin usaha untuk memperkukuhkan TH akan diteruskan dengan pengalaman dan kepimpinan beliau”.
Pelantikan Tan Sri Abdul Rashid Hussain juga diharap menjadikan TH sebagai institusi Islam yang dihormati atas pencapaian dan tadbir urus yang baik seiring dengan mandat penubuhannya untuk memudahkan umat Islam menyimpan untuk tujuan mengerjakan Haji.
Tan Sri Abdul Rashid Hussain adalah pengasas Kumpulan RHB dimana beliau telah menubuhkan syarikat broker saham Rashid Hussain Securities Sdn Bhd pada tahun 1983 dan seterusnya mengembangkannya menjadi salah sebuah kumpulan perkhidmatan kewangan bersepadu terbesar di Malaysia. Tan Sri Abdul Rashid Hussain pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Khazanah Nasional Berhad dari tahun 1994 hingga 1998. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Putrajaya Holdings dari tahun 1995 hingga tahun 2000.
Tan Sri Abdul Rashid Hussain juga diantara enam (6) ahli yang dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di dalam Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) Tabung Haji. Laporan Suruhanjaya Siasatan DiRaja Bagi Menyiasat Isu Pengurusan Dan Operasi Lembaga Tabung Haji Dari Tahun 2014 Hingga 2020 telah dipersembahkan kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kerajaan.
Tan Sri Abdul Rashid Hussain adalah Ahli Lembaga Gabenor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau turut dianugerahkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul SAW Peringkat Wilayah Persekutuan 1445H/2023M.
TH turut berterima kasih kepada Tan Sri Azman Hj Mokhtar sepanjang tempoh kepimpinannya menerajui TH. Sejak dilantik sebagai Pengerusi pada 20 Disember 2021, beliau juga berjaya memastikan kedudukan kewangan TH lebih kukuh dengan mencatat jumlah deposit sehingga 30 Nov 2023 sebanyak RM 88.9 billion, peningkatan hampir 7 peratus berbanding RM83.3 billion pada 1 Januari 2022.
Tan Sri Abdul Rashid Hussain merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak Kerajaaan atas keyakinan dan amanah yang diberikan kepada beliau bagi memimpin institusi Islam yang penting ini, terutamanya untuk terus memperkukuhkan dan memartabatkan TH dalam usaha menggembleng simpanan yang dijamin Kerajaan, patuh syariah, dilunaskan zakat bagi pendeposit, dan memudahkan urusan bagi melaksanakan ibadat haji.
TH juga perlu meneruskan usaha untuk mengukuhkan kedudukan kewangan demi kemampanan dan kelestarian masa hadapan, tambah beliau. Semoga segala usaha yang akan dilaksanakan dengan sokongan dan dokongan semua pemegang taruh akan mendapat keberkatan dari Allah SWT.
-Tamat