KUALA LUMPUR, 22 NOVEMBER 2023: Lembaga Tabung Haji (TH) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bekerjasama bagi menggalakkan semua warga PDRM beragama Islam untuk membuka akaun TH dan membuat caruman menerusi potongan gaji bulanan ke dalam akaun TH serta mendaftar untuk mengerjakan Haji.
Kempen pembukaan akaun TH dan caruman bulanan dibawah program Tabung Azam ke Baitullah (TABAH) ini diperkenalkan kepada anggota PDRM yang ingin menjadi pendeposit TH dan membuat caruman bulanan melalui potongan gaji.
Selaras dengan usaha TH untuk menggalakkan potongan caruman bulanan Tabung Haji, PUK, KPE Tabung Haji Tuan Syed Hamadah Syed Othman yakin kempen ini dapat memberi manfaat sekaligus memudahkan lebih 100,000 anggota PDRM seluruh negara untuk membuat simpanan setiap bulan.
“Bagi memudahkan warga PDRM menyimpan bagi tujuan haji, pihak TH telah bekerjasama dengan pihak PDRM untuk mengadakan kempen potongan caruman bulanan yang akan memudahkan warga PDRM membuat simpanan setiap bulan,” kata beliau.
“Saya yakin dengan potongan gaji ini, warga PDRM tidak perlu lagi bimbang jika terlupa untuk membuat simpanan haji bulanan masing-masing, sekali gus merealisasikan impian tuan-tuan dan puan-puan untuk menunaikan haji,” tambah beliau.
Ketua Polis Negara, Inspektor Jeneral Tan Sri Razarudin Husain berkata menerusi kempen TH ini , seramai 171 orang pelatih konstabel telah membuka akaun TH dan membuat caruman bulanan secara potongan gaji.
“Saya yakin menerusi program seumpama ini, kita dapat memberikan penerangan secara terus kepada para pelatih yang terdiri daripada anak-anak muda, sekaligus memberikan kesedaran untuk menyediakan tabungan seawal mungkin bagi menunaikan haji,” kata beliau.
Menerusi Program CSR Zakat, TH turut menyumbang RM500,000 kepada PDRM untuk menyediakan kenderaan ubah suai menjadi surau bergerak bagi kegunaan anggotanya.
“Kami berharap surau bergerak ini dapat memberi kemudahan kepada warga PDRM yang beragama Islam untuk mendirikan solat dengan selesa ketika bertugas melakukan operasi di lapangan. Surau tersebut boleh menampung beberapa orang anggota dalam satu masa bagi tujuan solat berjemaah,” jelas beliau lagi.
Majlis yang diadakan di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur telah dihadiri oleh Ketua Polis Negara, Inspektor Jeneral Tan Sri Razarudin Husain, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman serta Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab.
-Tamat-