KUALA LUMPUR, 3 November 2021 – Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) ternyata cenderung dengan penggunaan teknologi dan kemudahan digital apabila platform THiJARI telah menarik lebih satu (1) juta pengguna sejak pelancarannya pada Februari tahun lepas.
Menurut Dato’ Sri Amrin Awaluddin, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, THiJARI adalah inisiatif dan komitmen TH untuk memudahkan lebih lapan (8) juta pendepositnya untuk melakukan transaksi secara dalam talian dengan selamat tanpa perlu hadir ke pejabat cawangan.
“Setakat ini, THiJARI telah merekodkan purata 50 ribu transaksi sehari dan sebanyak 1.5 juta transaksi sebulan, melibatkan nilai deposit lebih daripada RM200 juta melalui dalam talian,” tambah beliau lagi.
Malah jumlah transaksi melalui THiJARI juga telah melonjak tiga kali ganda dalam masa setahun yang lepas. Ini menggambarkan permintaan yang tinggi daripada pengguna dan pendeposit yang semakin selesa dengan perkhidmatan digital yang ditawar oleh TH.
TH telah menggiatkan kempen pendaftaran THiJARI sejak November tahun lalu dengan menganjurkan pelbagai promosi bagi menarik lebih ramai pendeposit TH menggunakan THiJARI. Bersempena kempen pendaftaran THIJARI baru-baru ini, seorang pendeposit wanita, Puan Rosni binti Yasin dari Telok Penglima Garang, Selangor berjaya menjadi pengguna ke-sejuta dan bakal menerima hadiah wang tunai RM1,000.
TH berharap lebih ramai akan mendaftar sebagai pengguna THiJARI kerana ianya selamat, lebih mudah serta menjimatkan masa dan kewangan. Para pendeposit boleh melaksanakan transaksi secara dalam talian seperti urusan pertanyaan baki, cetak penyata, simpanan melalui pindahan, semak status haji, pendaftaran haji dan rayuan haji di mana sahaja mereka berada termasuk di luar negara.
SIARAN AKHBAR - PENGGUNA APLIKASI THiJARI CECAH LEBIH 1 JUTA (FINAL).pdf