KUALA LUMPUR, Rabu, 10 Oktober 2012: Pada pukul 8.15 pagi (waktu Arab Saudi), pasukan petugas Tabung Haji (TH) telah mengesan kepulan asap di tingkat bawah Bangunan Qasr Al-Janadiriyyah yang menempatkan 1,329 orang jemaah haji Malaysia.
Sebagai langkah keselamatan dan berjaga-jaga,TH telah mengambil tindakan pantas dengan mengosongkan maktab tersebut dan memindahkan jemaah haji ke bangunan bersebelahan - Abraj Al-Janadiriyyah untuk sementara waktu. Proses pemindahan dan pengosongan tersebut telah berjalan lancar tanpa sebarang kecederaan atau kemalangan yang dilaporkan.
Kepulan asap yang dilihat di Qasr Al-Janadiriyyah atau juga dikenali sebagai Maktab 92 ini, diklasifikasikan sebagai kes terpencil dimana tiada api yang dikesan dan yang kelihatan hanyalah asap nipis di bahagian paling bawah bangunan. Menurut laporan awal pihak bomba Arab Saudi, asap tersebut adalah berpunca daripada puntung rokok yang dibuang oleh jemaah haji yang menginap di situ dan tersangkut di saluran paip di bangunan.
Keadaan kini telah kembali seperti biasa dan jemaah haji Malaysia juga telah dipindah masuk semula ke bangunan tersebut (maktab 92) pada pukul 10.40 pagi (waktu Arab Saudi). Pengurusan TH di Arab Saudi juga akan sentiasa mengingatkan jemaah haji Malaysia untuk tidak merokok di dalam kawasan bangunan dan membuang puntungpuntung rokok di merata-rata tempat.
-Tamat-