KUALA LUMPUR, 8 September 2021 - Lembaga Tabung Haji (TH) mencatat jumlah pendapatan sebanyak RM1.52 bilion dalam setengah tahun pertama yang berakhir pada 30 Jun 2021 berbanding dengan RM1.55 bilion untuk tempoh yang sama pada tahun 2020. Walaupun menurun satu peratus, pencapaian ini mencerminkan ketahanan TH menangani kelembapan ekonomi dan perniagaan yang sukar pada masa kini.
Sebahagian besar pendapatannya diperoleh daripada pelaburan pendapatan tetap yang telah menyumbang sebanyak RM942.6 juta dalam tempoh setengah tahun pertama yang merangkumi 62 peratus daripada jumlah pendapatan kasarnya.
Pelaburan saham turut menyumbang RM219.9 juta untuk tempoh semakan, mencatatkan peningkatan berbanding RM184.2 juta pada tempoh yang sama pada tahun lalu. Pelaburan ekuiti menyumbang 14 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan, manakala pelaburan harta tanah memperoleh pendapatan sebanyak RM174.7 juta, diikuti pelaburan pasaran wang dengan pendapatan RM161.8 juta.
Setelah mengambil kira perbelanjaan serta peruntukan zakat, TH mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.22 bilion dalam tempoh enam bulan pertama sehingga 30 Jun 2021, penurunan dua peratus berbanding RM1.25 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2020. Antara faktor yang menyebabkan penurunan keuntungan adalah dari pelaburan harta tanah berikutan keadaan pasaran mencabar kerana pandemik di seluruh dunia.
Kedudukan kewangan TH terus kekal kukuh dengan aset berjumlah RM85.92 bilion melebihi liabiliti berjumlah RM83.73 bilion pada 30 Jun 2021. Jumlah kos operasi juga hampir sama dengan kos pada tahun lepas, hasil langkah pengurusan berhemah walaupun di dalam keadaan ekonomi yang mencabar. TH sentiasa mengambil langkah untuk mengoptimumkan perbelanjaan bagi memastikan pengurusan kos yang cekap.
Pada 30 Jun 2021, jumlah deposit di TH berjumlah RM81.14 bilion, iaitu paras tertinggi sejak penubuhannya, 58 tahun lalu. TH mempunyai 8.3 juta pendeposit pada 30 Jun 2021.
Ketidaktentuan dan cabaran ekonomi masa kini
Melihat kepada perkembangan dalam tempoh setengah tahun pertama ini, ekonomi negara terus berdepan dengan cabaran khususnya peningkatan kes Covid-19 dan juga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara yang sering diperbaharui. Namun begitu, program vaksinasi rakyat terus dipertingkatkan dan ditambah baik di seluruh negara.
Keteguhan pencapaian kewangan TH mencerminkan pendekatan pelaburan yang strategik dan oportunistik dengan pengurusan kecairan yang mantap, berpandukan kepada Alokasi Aset Strategik (SAA) yang bertujuan meminimumkan kesan turun naik jangka masa pendek di pasaran.
Mandat TH berdasarkan SAA ini adalah untuk menguruskan simpanan para pendeposit untuk jangka masa panjang bagi tujuan menunaikan ibadat haji. Lebih daripada separuh atau 58 peratus aset TH telah diperuntukkan bagi pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap seperti sukuk yang memberikan pulangan stabil dan selamat dalam jangka masa panjang.
Pulangan pelaburan ekuiti TH juga mengatasi penanda aras Indeks Syariah Hijrah Bursa Malaysia yang turun 7.45 peratus dalam tempoh setengah tahun pertama. TH memfokuskan kepada pelaburan saham dengan asas yang baik, berkualiti dari aspek ketahanan dan rekod prestasi dividen yang baik.
"Pendekatan berstruktur terhadap pelaburan ini mencerminkan komitmen TH untuk melindungi kepentingan para pendeposit dengan memelihara dan meningkatkan simpanan mereka untuk memenuhi kewajiban agama. Kami amat sedih kerana tidak dapat menguruskan ibadah haji pada tahun ini, namun kami tetap mengatur kesemua langkah-langkah yang diperlukan bagi menambah baik aspek persiapan haji mengikut peraturan dan syarat keselamatan yang baru.”
"TH sentiasa mengambil langkah berhati-hati pada setengah tahun kedua tahun 2021 dengan mengambil kira penularan varian Covid-19 baru muncul. Namun, dengan proses vaksinasi yang telah ditingkatkan, pastinya ia akan menjadi pemangkin kepada petumbuhan semula ekonomi negara," kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin.
Kedudukan kewangan yang kukuh
Dato’ Sri Amrin berkata, TH sentiasa menghargai sokongan para pihak berkepentingan, terutamanya pendeposit. TH sentiasa dan akan terus meningkatkan dan memperkukuhkan aspek tadbir urus dan operasi demi membina ketahanannya sehingga ke masa hadapan.
Melangkah ke hadapan, TH akan meneruskan usaha meningkatkan pendapatan melalui pelaburan dan menguruskan kos operasi dengan lebih cekap untuk memastikan agihan keuntungan yang mampan dan stabil untuk para pendeposit.
TH juga akan terus fokus terhadap tahap tadbir urus, pematuhan dan integriti yang tinggi demi kebaikan TH dan pendepositnya. Operasi TH dan urusan harian pendeposit tidak akan terganggu oleh keputusan Kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) dan kawalselia Bank Negara Malaysia sementara dapatan siasatan RCI dibentangkan kelak.
-Tamat-
08092021_SIARAN AKHBAR TH - TH CATAT PENDAPATAN RM1.52 BILION SETENGAH TAHUN PERTAMA 2021.pdf