KUALA LUMPUR, 14 Julai 2021 - Lembaga Tabung Haji (TH) mengambil maklum dan menyambut baik keputusan Kerajaan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas isu-isu berbangkit mengenai TH hasil pengauditan perunding-perunding dari tahun 2014 hingga 2020.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin berkata TH akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya tersebut berdasarkan lunas-lunas perundangan.
“TH berpendapat bahawa hasil siasatan dan pandangan dari RCI kelak dapat membantu TH menambah baik dari segi pengurusan dan aspek tadbir urus,” tambah beliau.
Aspek tadbir urus, integriti dan reputasi TH sebagai institusi simpanan kewangan Islam amat penting bagi memastikan keyakinan dan kepentingan orang ramai terjamin khususnya para pendeposit. TH telah dan senantiasa berusaha untuk melaksanakan proses penambahbaikan terhadap operasi dan urus tadbirnya demi kepentingan para pendeposit.
-Tamat-
SIARAN AKHBAR TH - TH AKAN BERI KERJASAMA PENUH UNTUK RCI (FINAL 14072021).pdf