KUALA LUMPUR, 4 JULAI 2018 – Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan laporan sebuah portal berita kononnya Kerajaan Arab Saudi menyekat atau mengurangkan Kuota Haji Rasmi Malaysia pada tahun ini.
Menurut YBhg. Dato' Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji, kuota haji rasmi negara kekal sebanyak 30,200 seperti tahun lalu. Kuota Haji Rasmi Malaysia adalah seperti yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia.
TH telah membuat persiapan rapi terutama dari segi penginapan di Makkah dan Madinah, penerbangan, pengangkutan, sajian makanan serta penyelarasan petugas TH dalam usaha memastikan kebajikan jemaah terjamin sepanjang menunaikan ibadah haji.
Para jemaah juga telah menghadiri Kursus Perdana Haji di seluruh negara bermula minggu lepas bagi meningkatkan tahap pengetahuan jemaah berkaitan ibadah haji terutama dari segi praktikal. Sebanyak tiga Kursus Perdana Haji lagi akan dilaksanakan minggu ini di Perlis, Zon Tengah Sarawak dan Zon Pantai Timur Sabah.
Penerbangan pertama haji akan berlepas pada 14 Julai 2018 sementara penerbangan terakhir ke Tanah Suci dijangka pada 14 Ogos 2018.
Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Lembaga Tabung Haji
-Tamat-