KUCHING, 14 JUN 2023: Seramai 142 bakal jemaah haji yang merupakan kumpulan bakal haji pertama dari negeri Sarawak akan memulakan perjalanan ke Tanah Suci pada hari ini.
Mereka akan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan feeder bertolak jam 11.20 malam dan dijangka tiba pada pukul 1.15 pagi sebelum menaiki penerbangan MH8166 pada jam 4.40 pagi dan dijangka tiba di Jeddah pada jam 8:35 pagi (waktu Arab Saudi) pada hari Khamis.
Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak turut hadir mengucapkan selamat jalan kepada bakal-bakal haji tersebut di Majlis Pelepasan Jemaah Haji Negeri Sarawak di Raia Hotel &Convention Centre Kuching, Sarawak.
“Umat Islam di negeri Sarawak harus bersyukur kerana Kerajaan Negeri dan Tabung Haji sentiasa mengambil berat akan kebajikan para Jemaah haji dengan penganjuran pelbagai kursus serta penyediaan perkhidmatan dan kemudahan infrastruktur yang baik di tanah air dan Tanah Suci,” kata beliau.
“Para jemaah haji tidak perlu bimbang dan hanya perlu mempunyai niat yang ikhlas untuk melaksanakan ibadat haji dengan sempurna, selain memastikan semua nasihat dan arahan Tabung Haji dipatuhi,” tambah beliau lagi.
Beliau turut menasihati bakal Jemaah haji untuk sentiasa menjaga akhlak dan menjauhi segala anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej serta nama baik negeri Sarawak.
“Semua Jemaah haji harus mematuhi dan menghormati peraturan serta undangundang yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi demi menjaga hubungan keduadua negara yang sudah lama terjalin,”kata beliau.
Pada musim ini, seramai 936 orang bakal haji berbanding 397 pada tahun lalu dari negeri Sarawak telah terpilih.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar juga mengingatkan bakal jemaah haji untuk terus menjaga kebersihan dan kesihatan diri sepanjang berada di Tanah Suci.
Beliau menasihati bakal jemaah haji untuk keluar secara berkumpulan dan sentiasa memakai kad pengenalan diri yang dibekalkan oleh TH demi menjaga keselamatan diri.
“Sekiranya ada sebarang kemusykilan berkaitan ibadat, jangan malu untuk bertanya dengan pembimbing ibadat yang disediakan di setiap bangunan penginapan, agar amalan yang dilakukan adalah betul dan tidak menjejaskan perjalanan ibadat haji masing-masing,” kata beliau.
Beliau turut mendoakan semua bakal jemaah haji Malaysia dapat melaksanakan ibadat haji dengan tenang dan sempurna, dan pulang dengan haji yang makbrur.
Bagi musim kali ini, bermula pada 14 Jun 2023 sehingga 16 Jun 2023, sebanyak 5 penerbangan domestik menerusi Malaysia Airlines akan membawa bakal-bakal haji negeri Sarawak, di mana setibanya di KLIA mereka akan melalui proses Makkah Route iaitu pemeriksaan Imigresen serta Kastam Kerajaan Arab Saudi sebelum menaiki penerbangan sewa khas haji untuk ke Tanah Suci.
-TAMAT-