KUALA LUMPUR, 30 Mei 2018 – Lembaga Tabung Haji (TH) ingin memaklumkan bermula 9 Jun 2018, akaun pendeposit TH yang tidak aktif melebihi tempoh tujuh (7) tahun akan dipindahkan ke kumpulan ‘Akaun Tidak Aktif’. TH juga menegaskan bahawa akaun-akaun tersebut tidak akan menerima agihan Hibah Tahunan atau Hibah Haji mulai 2018.
Inisiatif pengelasan ‘Akaun Tidak Aktif’ ini sebagai langkah keselamatan serta melindungi akaun pelanggan daripada sebarang transaksi yang mencurigakan. TH telah mengenalpasti hampir 500,000 (500 ribu) akaun pendeposit TH tidak aktif dengan jumlah simpanan sebanyak RM62.8 juta.
Para pendeposit boleh mengaktifkan akaun masing-masing dengan melakukan sekurang-kurangnya satu (1) aktiviti transaksi simpanan atau pengeluaran wang di mana-mana cawangan TH, kaunter atau transaksi atas talian rakan strategik TH - Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank; dan membuat urusan simpanan di pelbagai saluran Ejen Kutipan TH sebelum 8 Jun 2018 di seluruh negara.
TH ingin menasihatkan para pendeposit untuk membuat pengemaskinian profil seperti alamat, nombor telefon dan penamaan waris untuk memudahkan TH menghubungi bakal-bakal haji bagi urusan surat penghantaran tawaran haji serta pengurusan harta oleh waris.
Sekiranya pihak TH tidak dapat menghubungi pendeposit, bakal-bakal haji berkemungkinan akan terlepas giliran haji pada tahun berkenaan serta perlu menunggu pada tahun yang seterusnya untuk mengerjakan ibadat haji.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan TH, orang ramai boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan (THCC) kami di 03-6207 1919.
-Tamat-