KUALA LUMPUR, 28 April 2021 – Lembaga Tabung Haji (TH) ingin mengumumkan bahawa Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff akan melepaskan jawatannya sebagai Ahli Lembaga, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif berkuatkuasa 5 Mei 2021.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah bersetuju melantik Dato’ Sri Amrin Awaluddin sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH yang baharu bermula dari 6 Mei 2021.
Dato’ Sri Amrin merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan beliau akan menggantikan Datuk Nik Mohd Hasyudeen yang telah menerajui TH semenjak 1 September 2019.
Dato’ Sri Amrin mempunyai pengalaman lebih 30 tahun di sektor korporat dan memulakan karier beliau di instutusi perbankan sebelum memegang beberapa jawatan penting di syarikat seperti Renong Berhad, Malaysian Resources Corporation Berhad dan Putera Capital Berhad. Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif antaranya di Natseven TV Sdn Bhd (NTV7), Sistem Televisyen Malaysia Berhad, Media Prima Berhad, Sime Darby Property Berhad, Boustead Holdings Berhad dan LTAT.
Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Acadia, Kanada dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dengan kepujian dari University of Hull, England. Beliau juga merupakan ahli Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA), UK dan Akauntan Bertauliah Institut Akauntan Malaysia (MIA).
Pengerusi TH Tan Sri Md Nor Yusof berkata beliau yakin dengan kemahiran dan pengalaman luas yang dimiliki oleh Dato’ Sri Amrin akan dapat membawa TH ke tahap yang lebih cemerlang dan membanggakan. TH kini mempunyai kira-kira sembilan juta pendeposit dan dana terkumpul hampir RM80 bilion.
Tan Sri Md Nor turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Nik Mohd Hasyudeen atas komitmen serta usaha beliau dalam memajukan TH sebagai institusi Islam yang dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus yang baik.
-Tamat-
DATO’ SRI AMRIN AWALUDDIN DILANTIK CEO BAHARU TH (FINAL28042021).pdf