PUTRAJAYA, 28 Mac 2018 – Lembaga Tabung Haji (TH) memberikan sumbangan sebanyak dua (2) buah kereta Proton Ertiga 1.4 Executive Plus AT sebagai hadiah utama Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-61 bagi tahun 1439H/2018M.
Hadiah utama yang bernilai lebih RM140,000 ini akan diberikan kepada johan qari dan qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK). Sumbangan ini merupakan salah satu daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TH bagi MTHQK yang memasuki tahun ke-enam (6) telah dilaksanakan sejak tahun 2013.
YBhg Datuk Seri Johan Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH berkata, sumbangan hadiah utama ini adalah sebagai menyokong usaha mengembangkan syiar Islam serta mengimarahkan lagi penganjuran majlis tilawah berkenaan.
TH juga berharap penajaan ini dapat menjadi penyuntik semangat dan galakan kepada semua peserta agar bersaing meningkatkan lagi mutu bacaan Al-Quran mereka khususnya dari segi tajwid dan taranum.
Pada tahun lalu, qari Wilayah Persekutuan, Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad dan qariah Negeri Sembilan, Normalina Alias telah dinobatkan sebagai sebagai johan qari dan qariah sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1438H/2017M.
TH turut menyeru orang ramai khususnya umat Islam untuk beramai-ramai mengimarahkan majlis tilawah ini yang akan berlangsung pada 1 hingga 6 April di Kompleks Islam Putrajaya bertemakan ‘Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara’. Program seumpama ini diharapkan dapat menjadi platform dalam pembangunan sahsiah diri selain penghayatan pembacaan Al-Quran dengan tartil dan sempurna.
Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Lembaga Tabung Haji
-TAMAT-