KUALA LUMPUR, 3 Mac 2021 - Lembaga Tabung Haji (TH) mensasarkan agihan keuntungan yang lebih stabil pada masa hadapan selaras dengan matlamat penubuhannya untuk mengurus wang umat Islam bagi mengerjakan ibadah haji.
Kadar pulangan yang lebih lestari adalah sangat penting kerana bakal jemaah haji Malaysia perlu menunggu giliran menunaikan haji disebabkan kuota haji yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi.
“Inilah amanah kami yang paling besar. Bagaimana kami perlu memastikan kelangsungan TH lebih 100 tahun lagi untuk para jemaah melengkapkan agama. Ini bermakna keselamatan pelaburan amat penting dan TH tidak boleh mengambil risiko yang terlalu tinggi, lebih lebih lagi dengan kesan penyusutan ekonomi negara dan dunia disebabkan pandemik Covid-19 pada tahun lalu,” kata YBhg. Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH.
Namun, TH akan terus bekerja keras mencari peluang pelaburan untuk mencapai pulangan yang terbaik walaupun berdepan keadaan pasaran pelaburan yang mencabar.
Prestasi lebih baik mendorong pulangan kompetitif
“Keuntungan yang dicapai oleh TH didorong oleh prestasi dan kedudukan kewangan yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya, selain langkah pengurusan kos yang berhemah. Agihan keuntungan tahun 2020 ini juga adalah lebih kompetitif jika dibandingkan dengan pulangan daripada akaun simpanan tetap di perbankan Islam,” kata YBhg. Datuk Nik lagi. Sebagai perbandingan, purata kadar deposit runcit perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan ialah 2.56%.
Beliau mengulas prestasi kewangan TH bagi tahun 2020 selepas pengumuman rasmi berkenaan agihan keuntungan yang dibuat semalam oleh YB Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). TH telah mengumumkan kadar sebanyak 3.10% selepas zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.
Agihan untuk tahun 2020 melibatkan jumlah sebanyak RM2.24 bilion berbanding RM2.14 bilion pada tahun 2019.
“Alhamdulillah, TH telah merekodkan prestasi kewangan belum diaudit pada 2020 yang lebih baik berbanding tahun 2019, dengan keuntungan bersih selepas zakat sebanyak hampir RM2.23 bilion iaitu peningkatan sebanyak 22% atau RM397 juta berbanding tahun lalu,” tambah Datuk Nik Mohd Hasyudeen lagi.
Prestasi keseluruhan pendapatan TH bagi tahun kewangan 2020 disokong oleh beberapa aktiviti pelaburan TH dalam aset pendapatan tetap yang telah menjana pendapatan sebanyak RM1.90 bilion manakala pelaburan saham sebanyak RM430 juta, pelaburan hartanah sebanyak RM352 juta, dan instrumen pasaran wang Islam menyumbang sebanyak RM318 juta,” katanya.
TH juga terus komited melindungi kepentingan pendeposit dengan lebih separuh dari peruntukan asetnya (51%) dilaburkan dalam sukuk yang menawarkan pendapatan tetap. Ini selaras dengan Alokasi Aset Strategik (SAA) yang memberi penekanan kepada pelaburan jangka panjang, pendapatan berulang, selamat serta mempunyai daya ketahanan risiko.
Kedudukan kekal kukuh untuk cabaran masa depan
Kedudukan kewangan TH kekal stabil pada 31 Disember 2020 dengan jumlah aset melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM3.68 bilion (sebelum agihan keuntungan kepada pendeposit) berdasarkan jumlah aset keseluruhan sebanyak RM81.85 bilion dan jumlah liabiliti RM78.17 bilion.
TH turut memperuntukkan pembayaran zakat beranggaran RM106 juta bagi tahun 2020 berbanding RM86 juta pada tahun 2019. Justeru, para pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterima oleh mereka.
TH menjangkakan operasi persekitaran yang lebih mencabar pada tahun 2021 dimana pelabur terus mencari pulangan yang tinggi walaupun ekonomi masih lemah. Namun langkah pelbagai negara, termasuk Malaysia, untuk memastikan rakyat mendapat vaksin Covid-19 dijangka akan dapat membantu meneruskan usaha pemulihan ekonomi.
TH juga akan meneruskan usahanya untuk mengimbangi semula portfolio pelaburan khususnya dalam menggantikan aset yang tidak berdaya saing dengan aset yang boleh memberi pulangan lebih baik. Ini termasuklah memberi penekanan yang lebih kepada pelaburan luar negara dan pelaburan berlandaskan ESG (environmental, social and governance) yang terus menjadi perhatian banyak pelabur hari ini.