PUTRAJAYA, 7 Februari 2018 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan pemberian hibah sebanyak RM2.7 bilion kepada pendeposit TH bagi tahun kewangan 2017 pada kadar 4.50 peratus Hibah Tahunan TH dan tambahan 1.75 peratus Hibah Haji. Pengiraan hibah adalah berdasarkan baki tahunan terendah akaun pendeposit. Pengagihan hibah pada kadar 6.25 peratus ini akan memberi manfaat kepada 8.7 juta atau 93 peratus pendeposit yang masih belum menunaikan ibadat haji.
YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata TH telah mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM4.5 bilion peningkatan sebanyak RM1.1 bilion (31%) berbanding tahun kewangan 2016 sebanyak RM3.4 bilion.
TH juga merekodkan keuntungan bersih selepas zakat sebanyak hampir RM2.8 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM0.3 bilion (13%) berbanding tahun kewangan 2016 sebanyak RM2.5 billion.
Anak-anak syarikat TH juga turut menyumbang kepada pendapatan TH bagi tahun kewangan 2017 sebanyak RM 1.1 bilion antaranya BIMB Holdings Berhad (RM706 Juta), TH Properties Sdn Bhd (RM113 Juta), Kumpulan TH Hotel & Travel (RM104 Juta), TH Trust (RM82 Juta), Kumpulan LTH Property Holdings Ltd (RM82 juta), TH Plantations Berhad (RM50 Juta) dan beberapa anak syarikat lain sebanyak RM19 Juta .
Selari dengan amalan pengurusan portfolio yang baik, TH juga telah melakukan rosotnilai sebanyak RM470 juta bagi pelaburannya di dalam syarikat minyak dan gas yang telah dan masih terjejas ekoran kemelut yang melanda industri ini.
Pengagihan hibah tersebut telah mengambil kira bayaran Zakat TH sebanyak RM68 juta. Zakat tersebut akan diserahkan kepada semua Pusat Pungutan Zakat Negeri (PPZ) yang akan memberi manfaat kepada asnaf-asnaf di dalam negara.
Pada tahun kewangan 2017, TH telah membelanjakan sebanyak RM356 juta di mana RM298 juta adalah subsidi haji dan sebanyak RM58 juta untuk menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan seperti kesihatan, kaunseling, bimbingan haji, petugas haji serta kaunter kewangan tanpa sebarang bayaran tambahan yang merupakan kos tidak langsung pengurusan haji.
Kos operasi TH juga melibatkan penyediaan 125 cawangan dan van bergerak TH Komuniti di seluruh negara bagi memastikan perkhidmatan yang berterusan kepada para pendeposit dan bakal-bakal haji dapat berjalan lancar sepanjang tahun.
Manakala bagi tahun 2018, TH dijangka akan menanggung subsidi haji yang lebih tinggi hampir RM400 juta yang merupakan tanggungjawab sosial korporat terbesar TH untuk mendokong amanah dalam menjaga kebajikan jemaah Malaysia ketika menunaikan ibadat haji.
Adalah menjadi hasrat TH dan Kerajaan agar umat Islam di negara ini dapat menunaikan ibadah haji dengan selesa disamping memperoleh pelbagai kemudahan dan perkhidmatan.
Bermula sejak Musim Haji 1999M/1420H sehingga Musim Haji 2017M/1438H yang lalu, TH telah berjaya membiayai seramai 713 warga tua dan kurang berkemampuan sebanyak RM2.41 juta melalui inisiatif Dana Tabung Warga Tua yang menampung sebahagian daripada bayaran haji bagi bakal haji terpilih menunaikan ibadat haji tetapi menghadapi kekangan kewangan.
Turut hadir pada majlis tersebut, YB Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi TH; YBhg Datuk Seri Johan Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah TH.
Para pendeposit boleh menyemak pengkreditan Hibah TH 2017 di kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat. Semakan baki simpanan juga boleh dilakukan di ATM dan portal internet bank-bank rakan strategik - Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank Islamik (Maybank2U) serta Portal Internet TH (THiJARI) dan aplikasi mobile (THiJARI) bermula pada hari Isnin, 12 Februari 2018.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC)di talian 03-6207 1919.
Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Lembaga Tabung Haji
-TAMAT-