KUALA LUMPUR, 3 Februari 2021 – Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan kemudahan pemindahan dana dalam talian - JomPAY sebagai sebahagian daripada usaha ke arah digitalisasi dengan menyediakan lebih banyak touchpoints untuk kemudahan para pendepositnya.
Sebanyak 28 buah bank di Malaysia menyediakan kemudahan ini menerusi platform perbankan internet masing-masing. Melalui JomPay, para pendeposit boleh membuat urusan pemindahan dana secara dalam talian ke dalam akaun simpanan TH pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
"TH sentiasa berusaha untuk menambah baik perkhidmatan digital kepada para pendepositnya dan dengan pengenalan kemudahan JomPAY, urusan para pendeposit dapat dijalankan dengan lebih mudah. Para pendeposit dapat memindahkan dana daripada akaun simpanan/semasa bank mereka ke akaun simpanan TH melalui platform perbankan internet yang sedia ada. Tambahan pula, para pendeposit tidak perlu membuat sebarang pendaftaran untuk menggunakan kemudahan ini dan ia adalah percuma," kata Tuan Haji Mustakim Mohamad, Pengarah Eksekutif Operasi TH.
Jumlah transaksi pendeposit yang menggunakan kemudahan perbankan internet dan pelbagai saluran dalam talian telah meningkat kepada hampir 80 peratus berbanding transaksi yang dilakukan di kaunter. Dengan kemudahan tambahan ini akan memudahkan lagi para pendeposit untuk berurusan dengan TH. JomPay Biller Code bagi simpanan TH adalah 60228 dengan 15-digit nombor Akaun Simpanan TH perlu dimasukkan sebagai Ref-1.
-Tamat-
SIARAN AKHBAR TH - URUSAN PERBANKAN TH LEBIH MUDAH DENGAN JomPAY (FINAL).pdf