KUALA LUMPUR, 20 Januari 2021 - Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan kempen Simpan, Daftar Dan Menang berikutan sambutan yang menggalakkan pada tahun 2020 dengan tawaran hadiah bernilai RM400,000 berbanding RM300,000 tahun sebelumnya. Turut diperkenalkan kempen Simpan, Daftar Dan Menang Kelab TaHa yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM100,000.
Kempen Simpan, Daftar Dan Menang yang telah memasuki tahun kedua penganjurannya ini masih mengekalkan syarat-syarat penyertaan seperti tahun sebelumnya dengan tambahan satu syarat iaitu, mendaftar sebagai pengguna THiJARI.
Kempen ini bertujuan untuk memupuk orang ramai terutamanya para pendeposit untuk menambah simpanan, mendaftar haji dan juga untuk menggalakkan pendeposit mendaftar sebagai pengguna THiJARI bagi memudahkan urusan bersama TH.
“Buat pertama kalinya, TH turut memperkenalkan kempen Simpan, Daftar dan Menang Kelab TaHa untuk kumpulan sasar yang terdiri daripada pendeposit muda TH yang berumur 17 tahun ke bawah. Untuk menyertai kempen ini, pendeposit hanya perlu mendeposit sekurang-kurangnya sejumlah RM1,300 dan mengekalkan Tambahan Simpanan Bersih minima RM1,300 dalam akaun TH mereka dan mendaftar haji bagi mereka yang belum mendaftar. Hadiah wang tunai yang ditawarkan adalah berjumlah RM100,000 untuk 200 orang ahli Kelab TaHa yang bertuah.”
“Kempen ini adalah salah satu usaha TH mendekati pendeposit muda di samping menggalakkan mereka menabung dan merancang kewangan sejak kecil bagi tujuan untuk menunaikan ibadat haji suatu hari nanti,” kata YBhg. Datuk Nik Mohd Hasyudeen bin Yusoff, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH.
Tempoh kedua-dua kempen ini bermula 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2021, dengan empat (4) kali cabutan yang dijadualkan pada bulan April, Julai, Oktober 2021 dan cabutan akhir pada bulan Januari 2022.
Untuk maklumat lebih lanjut sila rujuk terma dan syarat penyertaan Kempen #SimpanDaftar&Menang dan #SimpanDaftar&MenangKelabTaHa di laman sesawang TH atau menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.
-Tamat-
20012021_SIARAN AKHBAR TH - PELUANG MENANG HADIAH SETENGAH JUTA RINGGIT (FINAL).pdf