JEDDAH, 15 JANUARI 2025 – Kerajaan Malaysia telah menandatangani Memorandum Urusan Haji bersama pihak Kerajaan Arab Saudi bagi memperkukuhkan lagi kerjasama strategik kedua-dua pihak terutamanya dalam pengurusan haji untuk musim 1446H/2025M.
Memorandum berkenaan telah ditandatangani oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mewakili Kerajaan Malaysia dan pihak Kerajaan Arab Saudi diwakili oleh Tuan Yang Terutama Dr. Tawfig Fawzan Al-Rabiah, Menteri Haji dan Umrah.
YB Dato’ Setia Dr. Mohd Naim berkata memorandum ini menjadi bukti komitmen kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji (TH) dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada para bakal dhuyufurrahman khusus untuk musim haji kali ini.
“Alhamdulillah, dalam kunjungan rasmi saya ini kita telah dapat menjalinkan satu pemeteraian secara rasmi bagi mengukuhkan lagi hubungan akrab yang telah sekian lama terjalin di antara negara Malaysia dan Arab Saudi. Ini merupakan salah satu usaha berterusan kerajaan dan TH dalam menambahbaik pengurusan jemaah haji negara secara keseluruhan serta membuka peluang untuk peningkatan kualiti perkhidmatan TH di tanah suci melalui kerjasama beberapa pihak di Arab Saudi,” kata beliau.
Memorandum yang dimeterai ini melibatkan beberapa persetujuan antaranya jumlah kuota haji rasmi negara sebanyak 31,600 orang bagi musim 1446H/2025M.
Selain itu, Malaysia juga menyatakan persetujuan untuk mematuhi garis panduan dari Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi berkaitan ketibaan dan pergerakan pulang melalui lapangan terbang Madinah dan Jeddah.
Malaysia juga akan menyelesaikan kesemua kontrak bersama pelbagai pihak di Arab Saudi lebih awal bagi memudahkan pengurusan jemaah haji di tanah suci.
Dalam kunjungan hormat YB Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im bersama TYT Dr. Tawfig itu juga, Malaysia telah memohon kuota haji tambahan sebanyak 10,000 dan ini akan dipertimbangan dengan sewajarnya oleh Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi.
Pertemuan rasmi ini diadakan bersempena dengan acara tahunan Simposium dan Pameran Haji 1446H anjuran Kerajaan Arab Saudi yang diadakan bermula 13 hingga 16 Januari, bertempat di Superdome, Jeddah yang mana telah mengumpulkan pengendali operasi haji dan umrah dari serata negara dan turut menjadi platform perkongsian aspirasi pengurusan haji oleh Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi.
Delegasi Malaysia turut diwakili oleh Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman serta barisan pengurusan kanan TH.
Para delegasi turut berkesempatan untuk berjumpa dengan beberapa wakil pengendali dan Pejabat Urusan Haji dari beberapa negara bagi bertukar pandangan serta perkongsian ilmu dalam menambahbaik penyampaian perkhidmatan pengurusan haji negara.
-TAMAT-