KUALA LUMPUR, 24 Disember 2020 – Ketua Pegawai Modal Insan Lembaga Tabung Haji (TH), Rina Sarif baru-baru ini telah menerima anugerah Women in HR Leadership Awards sempena majlis Malaysia Leadership Awards anjuran World HRD Congress ke-28 edisi 2020-2021 yang berlangsung secara dalam talian dan dipancarkan ke seluruh dunia.
Anugerah tahunan yang dianjurkan oleh World HRD Congress sebelum ini telah berjaya menarik lebih 1800 penyertaan sektor professional daripada 133 buah negara seluruh dunia dan antara kategori baru yang diperkenalkan adalah Diversity Award dan Women in HR Leadership Awards.
“Saya berasa amat bersyukur dan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YBhg. Datuk Nik Mohd Hasyudeen dan semua warga TH atas sokongan yang diberikan. Saya juga berharap agar pencapaian ini menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada warga TH untuk terus memberi perkhidmatan yang cemerlang dalam menjadikan TH sebuah organisasi yang berprestasi tinggi,” kata beliau ketika menerima anugerah ini.
Awal memulakan tugas di TH, Rina Sarif berjaya menjenama semula Jabatan Sumber Manusia kepada Jabatan Modal Insan. Gaya kerja beliau yang menekankan aspek kerja berorientasikan hasil dan impak serta berdaya saing tinggi, mendorong kualiti kerja warganya yang lebih efisyen dan proaktif.
TH mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Rina Sarif dan berharap kejayaan beliau akan menjadi inspirasi kepada semua wanita di Malaysia, khususnya golongan professional dalam kepimpinan dunia korporat.
-Tamat-