KUALA LUMPUR, 15 Disember 2022 – Lembaga Tabung Haji (TH) akan memaklumkan tarikh pengeluaran surat tawaran haji kepada bakal jemaah haji terpilih bagi musim haji 1444H/2023M menerusi platform-platform komunikasi rasmi TH kelak.
Pengarah Eksekutif Haji, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata setelah tarikh pengeluaran surat tawaran haji diumumkan, bakal haji Malaysia boleh melayari www.thijari.com.my atau memuat naik aplikasi ThiJARI bagi menyemak dan menjawab tawaran haji yang telah dikeluarkan.
Dato’ Sri Syed Saleh turut menasihati orang ramai agar untuk tidak mudah percaya dengan berita yang tular di media sosial tentang tarikh pengeluaran surat tawaran haji, rayuan haji, syarat kelayakan bakal haji dan juga kriteria pemeriksaan kesihatan.
Berita tidak sahih tersebut telah menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat dan TH menerima banyak pertanyaan berkenaannya.
“Bakal jemaah Haji Malaysia dinasihatkan untuk menunggu pengumuman rasmi status ibadah haji tahun ini daripada TH yang akan dimaklumkan sebaik sahaja jumlah kuota, kriteria pemilihan dan kaedah pelaksanaannya untuk musim haji tahun ini telah diputuskan oleh Kerajaan Arab Saudi,” kata beliau.
Untuk makluman, TH sedang menganjurkan kursus asas haji selama 13 minggu bermula 25 November sehingga 17 Februari 2023 sebagai persediaan melengkapkan bakal-bakal haji dengan ilmu pengetahuan berkaitan ibadat haji serta mendapat gambaran suasana terkini di tanah suci.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, boleh berhubung Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.
–Tamat –