Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) hari ini melaksanakan Program Ikhtiar TH dengan peruntukan sebanyak RM150,000.00 kepada usahawan asnaf yang layak daripada pelbagai industri.
YBhg. Dato’ Mohammad Mokhzani Mukhtar, Pengarah TH Negeri Johor disertai Tuan Haji Mohd Noh bin Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif MAIJ hadir menyerahkan sumbangan kepada semua 20 orang usahawan asnaf dari beberapa daerah di Johor yang rata-ratanya terlibat dalam industri makanan, kraf tangan dan tekstil.
“Melalui bantuan zakat sebagai suntikan modal perniagaan, TH dan MAIJ berharap Program Ikhtiar ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan asnaf di negeri ini. Seterusnya, memastikan asnaf mampu berdikari dan memperbaiki kehidupan mereka dan keluar dari di belenggu kemiskinan,” kata Dato’ Mohammad Mokhzani.
Sumbangan yang diserahkan melalui Program Ikhtiar TH ini bertujuan memberi bantuan suntikan modal untuk membolehkan usahawan asnaf memula dan/atau meningkatkan perniagaan berdasarkan kemahiran yang dimiliki. Antara objektif utama program adalah untuk membantu usahawan asnaf meningkatkan sumber pendapatan tambahan yang membolehkan mereka menaiktaraf hidup dan sosio ekonomi sedia ada.
Sejak tahun 2015, lebih 80 usahawan asnaf telah menerima bantuan melalui Program Ikhtiar TH dengan peruntukan sebanyak RM1.4 juta sebagai sebahagian daripada Program Tanggungjawab Sosial Korporat. Program seumpama ini jelas memperlihatkan keprihatinan TH terhadap keperluan masyarakat setempat khususnya golongan asnaf.
Turut hadir dalam majlis ini, pengurusan kanan MAIJ, ahli keluarga para penerima serta anggota-anggota TH.
13122108_PR-TH SUNTIK MODAL LEBIH RM150 RIBU KEPADA ASNAF NEGERI JOHOR.pdf