SEPANG, 29 November 2012: Penerbangan terakhir KT106 yang membawa pulang jemaah haji ke tanah air menerusi pesawat MH8291 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira *jam 1.45 petang ini dengan membawa seramai 351 jemaah. Ketibaan jemaah yang keluar dari balai ketibaan disambut oleh ahli keluarga dan saudara-mara masing-masing yang sudah berada di KLIA sejak awal lagi.
Kumpulan terakhir ini berlepas dari Madinah pada hari Rabu, 28 November, jam 1:07 pagi waktu Saudi setelah berada di Madinah sejak 19 November lalu. Penerbangan pulang ini turut membabitkan seramai 30 orang para petugas Lembaga Tabung Haji.
Pada tahun ini, terdapat sebanyak 81 penerbangan haji dan 37 penerbangan adalah dengan menggunakan MAS dan selebihnya dengan penerbangan Saudi Airlines. Dengan ketibaan kumpulan ini, kesemua jemaah haji Malaysia telah selamat pulang ke tanahair kecuali yang masih berada di hospital Arab Saudi.
Seramai 54 orang jemaah meninggal dunia di tanah suci kerana uzur dan pelbagai masalah kesihatan, manakala sejumlah 7 orang jemaah masih lagi dirawat di hospital, 4 orang di Makkah dan 3 orang di Madinah, dan mereka kini dipantau oleh Pejabat TH Jeddah dan akan dibawa pulang setelah dibenarkan oleh pihak hospital.
Kepulangan kumpulan akhir jemaah ini juga menandakan tamat lah operasi haji musim 1433 Hijrah / 2012 yang telah selamat dilaksanakan oleh pihak Lembaga Tabung Haji. Turut hadir di KLIA untuk menyambut ketibaan kumpulan terakhir jemaah haji ini ialah Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Asha’ari, Pengerusi Lembaga Tabung Haji dan Dato’
Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji serta barisan Pengurusan Kanan TH.
-Tamat-