KUALA LUMPUR, 13 November 2014: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyampaikan agihan zakat pendidikan bernilai RM235,000 kepada 470 orang pelajar dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Projek Iqra’ Tahun 2014 bagi Peringkat Wilayah Persekutuan yang diadakan di Dewan SK Setapak Indah.
Projek Iqra’ ini merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TH yang mensasarkan para pelajar kurang bernasib baik dan berkemampuan. Pada tahun ini, TH mengunjurkan pengagihan zakat pendidikan berjumlah RM2.3 juta kepada 4,530 pelajar daripada 194 sekolah di seluruh negara.
Wilayah Persekutuan merupakan lokasi ketujuh menerima sumbangan dan akan disusuli dengan negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak. Para pelajar dari 30 buah sekolah terpilih menerima sumbangan zakat pendidikan berjumlah RM500 yang berupa kelengkapan sekolah dan juga wang tunai yang disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji.
Pemberian sumbangan ini sebagai tanda keprihatinan pihak TH kepada golongan yang kurang bernasib baik disamping sebagai usaha menyokong program kerajaan dalam membangun serta melestarikan komuniti Islam di negara ini. TH berharap sumbangan ini menjadi suntikan pendorong dan motivasi kepada pelajar untuk gigih berusaha menuntut ilmu dan menempa kecemerlangan di dalam bidang akademik. Di samping itu, TH juga berharap para pelajar ini dapat menjadi pemangkin perubahan dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara.
Selain daripada Projek Iqra’ ini, TH juga melaksanakan beberapa program CSR lain seperti Projek Ehsan iaitu agihan zakat kepada golongan asnaf warga emas, fakir miskin dan ibu tunggal yang dilaksanakan sempena bulan Ramadhan dan Projek Baiti iaitu agihan zakat yang peruntukkan untuk pembinaan atau penambahbaikan rumah bagi golongan asnaf fakir miskin.
Turut hadir sama dalam majlis berkenaan adalah En. Tajudin Mohamad Mor, Timbalan Pengarah Pendidikan, Pejabat Pendidikan Wilayah Keramat, Pengetua - pengetua sekolah terpilih dan anggota TH.
-Tamat-