KOTA KINABALU, 11 November 2021 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan Zakat TH berjumlah RM2,104,543.47 bagi tahun kewangan berakhir 2020 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dalam satu majlis bertempat di Pejabat Ketua Menteri, Sabah.
Serahan zakat ini disampaikan oleh Pengarah TH Wilayah Sabah dan Sarawak, YBhg. Datin Hajah Nurlaila binti Haji Said kepada Timbalan Yang Dipertua MUIS, Ustaz Malai Ali Malai Ahmad. Majlis serahan ini turut disaksikan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah. Bayaran zakat bagi negeri Sabah ini mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2020 (RM1,774,247.05).
“Saban tahun TH melaksanakan bayaran zakat yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab TH sebagai sebuah organisasi Islam yang prihatin dengan sasaran untuk memperkasakan kewangan Islam dan pembangunan sosio-ekonomi ummah bagi manfaat khususnya golongan asnaf di Negeri Sabah,” kata Datin Hajah Nurlaila.
TH berharap pembayaran zakat ini dapat dimanfaatkan oleh MUIS ke arah kemampanan program-program zakat yang dirangka di negeri ini bagi kelestarian ekonomi golongan asnaf, tambahnya lagi.
Jumlah keseluruhan bayaran Zakat TH 2020 terus mencatatkan peningkatan di seluruh negeri sebanyak RM100,416,202.83 berbanding RM86,185,327.00 pada tahun 2020.
Terdahulu pada 30 Oktober yang lalu, TH telah menyerahkan sumbangan van menerusi Program Mobiliti buat julung-julung kalinya di negeri ini. Sepanjang tahun 2020, TH terus memperkasakan lagi aspek kebertanggungjawabannya dengan pelaksanaan pelbagai program zakat bersasar khususnya kepada golongan yang memerlukan melalui pengagihan bagi tujuan pendidikan, keusahawanan, kebajikan dan kemasyarakatan. Inisiatif ini juga membolehkan TH menganjurkan program-program tanggungjawab sosial korporatnya yang memberi impak positif berganda kepada golongan asnaf.
Pada tahun ini, TH turut memperuntukkan RM18.7 juta bagi melaksanakan program lain seperti Program Ehsan - program bantuan kewangan untuk golongan asnaf yang memerlukan seperti warga emas, ibu/ bapa tunggal dan golongan kurang upaya; Program Ikhtiar - membantu golongan asnaf melalui suntikan modal perniagaan ; Program Iqra’ –menyediakan bantuan kewangan dan keperluan kepada pelajar asnaf di beberapa universiti awam dan institusi terpilih; dan Program A’fiat - yang melibatkan sumbangan alat bantuan sokongan kesihatan.
Majlis yang berlangsung penuh dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia ini turut dihadiri oleh YB Datuk Hj. Mohd Arifin bin Hj. Mohd Arif, Menteri Tugas-tugas Khas Sabah; Tuan Haji Yusdi bin Nasip, Pengarah TH Negeri Sabah; para pengurusan kanan MUIS dan anggota-angota TH.
-Tamat-
11112021_SIARAN AKHBAR TH - TH SERAH ZAKAT RM2.1 JUTA BAGI KEMASLAHATAN ASNAF SABAH (FINAL).pdf