IPOH, Khamis, 8 November 2012: Lembaga Tabung Haji (TH), selaras dengan komitmennya untuk menyumbang ke arah pembangunan masyarakat khususnya komuniti Islam yang lestari, hari ini mengagihkan bantuan pendidikan kepada 200 orang pelajar daripada 10 buah sekolah rendah dan menengah di sekitar Daerah Kinta Utara dan Selatan.
Program sumbangan pendidikan yang dimulai di negeri Johor pada pertengahan bulan Oktober lalu telah dilaksanakan dengan jayanya di seluruh negara dan tamat pada hari ini. Bagi tahun ini, TH telah berjaya mencapai sasarannya untuk mengagihkan zakat pendidikan berjumlah RM1.15 juta kepada 2,300 orang pelajar di seluruh negara.
Dalam majlis ringkas yang diadakan pada hari ini, TH telah mengagihkan sumbangan zakat pendidikan sebanyak RM100,000.00, dimana setiap pelajar menerima sumbangan RM500.00, yang berupa kelengkapan persekolahan bernilai RM200.00 dan wang tunai sebanyak RM300.00 seorang. Sumbangan telah disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Yassin Tahir, Ketua Pegawai Teknologi Maklumat TH.
Program sumbangan pendidikan ini selain bertujuan untuk membantu meringankan tanggungan kewangan golongan yang amat memerlukan khususnya dalam membuat persiapan untuk sesi persekolahan tahun hadapan, juga adalah untuk memastikan bantuan zakat perniagaan Syarikat dapat diagih dan disalurkan terus kepada golongan asnaf yang berhak tanpa melalui pihak ketiga.
Program ini juga diharap dapat mendorong serta menjadi motivasi kepada pelajar-pelajar ini ke sekolah untuk mencari ilmu serta menjadi golongan yang terpelajar dan berakhlak tinggi demi membela dan merubah taraf sosio ekonomi diri dan keluarga.
“TH berharap bantuan pendidikan ini akan menjadi pembakar semangat kepada para pelajar untuk lebih berkeyakinan dan bekerja keras dalam menimba ilmu bagi menjamin kejayaan masa depan yang lebih baik, justeru dapat meningkatkan taraf sosio-ekonomi keluarga mereka pada masa akan datang,” kata YBhg. Dato’ Kamarudin Mat Ali.
Antara program-program tanggungjawab sosial korporat yang dirancang dan dilaksanakan oleh TH untuk tahun ini kepada golongan asnaf ialah Projek Ehsan iaitu agihan zakat kepada golongan asnaf warga emas, fakir miskin dan ibu tunggal yang dilaksanakan sempena bulan Ramadhan, Projek Bumbung iaitu agihan zakat yang peruntukkan untuk pembinaan rumah bagi golongan asnaf fakir miskin dan Projek Kesihatan iaitu pembelian dan sumbangan mesin hemodialisis di hospital-hospital Kerajaan untuk manfaat pesakit buah pinggang yang bergantung serta memerlukan rawatan ini.
Majlis hari ini turut dihadiri oleh Tuan Haji Mohamad Zahir bin Hussin @ Yusof, Timbalan Pengarah TH Negeri Perak; Tuan Haji Mar Azlan bin Amran, Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Utara; pegawai-pegawai dari Jabatan Pelajaran Daerah Kinta Utara dan Selatan, pengetua-pengetua sekolah terlibat dan pegawai-pegawai dan anggota TH.
-Tamat-
Program Bantuan Pendidikan Tabung Haji 2012 Peringkat Negeri Perak