JOHOR, KHAMIS, 16 Oktober 2014: Yang Berhormat Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) pada hari ini menziarahi waris dan keluarga jemaah haji yang meninggal dunia di tanah suci iaitu Allahyarham Ismail Abu Bakar, 87, dari Yong Peng, Johor dan Allahyarhamah Aishah Mohamad, 54, dari Batu Pahat, Johor.
Allahyarham Ismail Abu Bakar telah dilaporkan meninggal dunia pada 1 Oktober 2014 pada jam 12.35 petang akibat jangkitan kuman dan kegagalan multi organ, manakala Allahyarhamah Aishah Mohamad pula meninggal dunia pada 14 Oktober 2014 jam 9.30 malam (waktu Saudi) akibat serangan jantung. Jenazah mereka telah diuruskan oleh para petugas TH di Makkah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara’ek, Makkah.
Yang Berhormat Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dalam kenyataanya yang mewakili seluruh warga kerja TH merakamkan ucapan takziah buat kedua-dua keluarga. Beliau berharap semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham Ismail Abu Bakar dan Allahyarhamah Aishah Mohamad diberikan kekuatan dan
kesabaran dalam menghadapi ujian dan kehilangan insan tercinta. Beliau juga turut mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat, mendapat keampunan Allah SWT, serta ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh.
Dalam lawatan yang sama, Yang Berhormat Datuk Azeez Abdul Rahim turut menyampaikan bantuan khairat kematian sumbangan TH kepada waris Allahyarham dan Allahyarhamah.
Turut serta dalam program ziarah ini adalah para pegawai serta kakitangan TH khususnya Negeri Johor.
-TAMAT-