Lembaga Tabung Haji (TH) mencatat prestasi dan kedudukan kewangan yang semakin baik bagi separuh pertama tahun 2019, dipacu oleh strategi pelaburan yang mampan serta langkah pengurusan kos yang berhemat.
Prestasi kewangan yang semakin baik
Bagi tempoh enam (6) bulan pertama tahun 2019, TH telah berjaya memperoleh pendapatan berjumlah RM1.3 bilion, dijana terutamanya daripada pelaburan aset pendapatan tetap (RM663 juta), pelaburan hartanah (RM292 juta) dan instrumen pasaran wang Islam (RM199 juta). Keuntungan bersih juga telah meningkat kepada RM815 juta hasil langkah berterusan penjimatan kos pengurusan dan pentadbiran.
Pendapatan TH dijangka terus meningkat apabila TH akan menerima manfaat penuh daripada Sukuk Urusharta Jamaah Sdn Bhd yang telah diterbitkan pada 30 Mei 2019 yang lalu.
Kedudukan kewangan kekal kukuh
Perubahan strategi pelaburan TH kepada aset pelaburan yang lebih stabil telah berjaya mengurangkan tekanan daripada keadaan pasaran kewangan yang tidak menentu akibat ketegangan perang dagang di peringkat global.
Pada 30 Jun 2019, kedudukan kewangan TH kekal kukuh apabila jumlah aset telah melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM1.8 bilion, dengan jumlah aset RM74.0 bilion manakala jumlah liabiliti RM72.2 bilion.
Sokongan pendeposit kekal utuh
Kepercayaan dan sokongan para pendeposit kepada TH kekal utuh dengan jumlah deposit yang kekal tinggi pada paras RM71.0 bilion setakat 30 Jun 2019. Seperti tahun-tahun sebelum ini, TH telah menjangkakan peningkatan pengeluaran dalam separuh pertama tahun 2019 selepas pengumuman hibah dibuat serta apabila bermulanya musim haji.
Operasi Musim Haji 1440H/2019M berjalan lancar
Musim Haji 1440 Hijrah telah bermula dengan penerbangan pertama jemaah haji mendarat di Madinah pada 4 Julai 2019 yang lalu. Sehingga 24 Julai 2019, sebanyak 42 penerbangan yang membawa lebih 20 ribu jemaah haji telah berlepas dan selamat tiba di Tanah Suci. Di Makkah, jemaah Muassasah akan menginap di empat belas (14) buah hotel yang terletak sekitar 600 - 950 meter daripada Masjidil Haram. Sehingga kini, pengendalian operasi haji berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.