KUALA LUMPUR, 9 Julai 2020 – Lembaga Tabung Haji (TH) telah mencatat pendapatan pelaburan sebanyak RM1.55 bilion dalam tempoh setengah tahun pertama tahun 2020, disokong oleh pelaburan di pasaran sukuk dan saham.
Pelaburan aset pendapatan tetap menyumbang sebanyak RM1 bilion iaitu 65 peratus dari jumlah pendapatan pelaburan TH bagi tempoh Januari hingga 30 Jun 2020. Pelaburan hartanah telah menjana pendapatan RM204.57 juta, manakala pelaburan instrumen pasaran wang Islam menyumbang sebanyak RM187.13 juta dan RM150.27 juta pula daripada pelaburan ekuiti.
Peningkatan pendapatan ini telah menghasilkan keuntungan bersih sebanyak RM1.25 bilion berbanding RM849.66 juta pada tempoh enam bulan yang sama pada 2019. Jumlah aset TH juga melebihi liabiliti sebanyak RM1.86 bilion pada 30 Jun 2020.
TH juga sedang membuat persediaan untuk menghadapi pengurusan ibadah haji yang lebih rumit pada tahun hadapan, berikutan penangguhan haji pada musim 1441H/2020. Ini termasuk menangani cabaran-cabaran baharu seperti penyampaian perkhidmatan yang mengambilkira situasi Covid-19.
Pasaran kewangan dan keadaan ekonomi yang mencabar
Pada awal tahun ini, penularan wabak Covid-19 telah memberi impak yang ketara terhadap ekonomi dan pasaran kewangan dunia, termasuk ekonomi dan pasaran kewangan tempatan. Kejutan dari Covid-19 juga berlaku dalam situasi ekonomi global yang lemah berikutan harga minyak mentah yang rendah dan kemelut perang perdagangan antara ekonomi besar dunia.
Sebagai sebuah institusi pengurusan haji dan pelaburan yang aktif di pasaran kewangan, TH turut terkesan dengan impak wabak Covid-19 pada awal tahun ini berikutan langkah pengawalan penularan jangkitan coronavirus. Namun keadaan pasaran kewangan beransur pulih apabila aktiviti ekonomi dibenarkan semula bersama langkah-langkah menerusi pelan rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan. Pasaran saham tempatan Bursa Malaysia yang jatuh lebih 23 peratus semasa kemuncak pandemik Covid-19 telah kembali meningkat hampir kepada paras asal. Indeks utama FBM KLCI ditutup pada paras 1,500.97 mata pada 30 Jun 2020 dan hanya melibatkan perbezaan 5.5 peratus dari 1,588.76 mata pada 31 Disember 2019. Ini tidak bermakna tekanan ke atas prestasi dan penilaian aset-aset TH, seperti di dalam sektor hartanah, telah berkurangan.
“Impak besar dari wabak Covid-19 ke atas ekonomi dunia dan negara adalah menjadi cabaran yang paling utama bagi TH dalam menguruskan pelaburannya demi melindungi kepentingan pendeposit. Kami juga telah mengambil langkah untuk mengenal pasti kesan Covid-19 ke atas pelaburan melalui pemantauan berkala. Dari segi operasi pula TH perlu menjadi lebih efisyen dengan menambah baik perkhidmatan dan mengurangkan kos,” kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff.
Sokongan pendeposit terus utuh
Datuk Nik turut berterima kasih di atas sokongan berterusan yang diberikan oleh para pendeposit dalam masa yang mencabar ini. TH yakin wabak Covid-19 akan berakhir dan akan terus bekerja keras untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada para pendeposit dalam apa jua keadaan sekali pun. Melangkah ke hadapan, perkhidmatan digital akan menjadi fokus utama TH memandangkan sebahagian besar pendeposit TH adalah terdiri daripada golongan celik teknologi.
Kepercayaan dan sokongan para pendeposit kepada TH kekal utuh dengan jumlah deposit sebanyak RM73.86 bilion pada 30 Jun 2020 berbanding RM69.42 bilion pada 31 Disember 2019. Pada tempoh yang sama lebih 123,000 akaun simpanan baharu telah dibuka.
- Tamat -