KUALA LUMPUR, Khamis, 27 Jun 2013: Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama akhbar Harian Metro hari ini menganjurkan pertandingan fotografi bertemakan „Kenangan Abadi Tanah Suci‟. Majlis penyerahan tajaan pertandingan tersebut disempurnakan oleh YBhg. Dato‟ Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif TH kepada YBhg. Datuk Mustapa Omar, Pengarang Kumpulan Harian Metro, di Ibu Pejabat TH, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Pertandingan fotografi ini diadakan bersempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun TH dan akan berlangsung selama satu (1) bulan, bermula daripada 1 Julai sehingga 31 Julai 2013. Bertepatan dengan temanya „Kenangan Abadi Tanah Suci‟, gambar-gambar yang dikirimkan hendaklah menggambarkan situasi sekitar perjalanan atau persiapan Ibadah Haji atau Umrah di Tanah Suci.
YBhg. Dato‟ Paduka Ismee Ismail dalam kenyataannya berkata, “Pertandingan ini merupakan salah satu daripada aktiviti sambutan Jubli Emas TH yang bertujuan memberi peluang kepada masyarakat umum untuk berkongsi pengalaman ketika menunaikan Ibadah Haji dan Umrah. Melalui pertandingan ini juga, ianya diharap mampu memberi pendedahan, pengetahuan dan mengenengahkan peranan serta sumbangan TH dalam evolusi pengurusan haji di Malaysia kepada masyarakat umum”.
Beliau juga berharap pertandingan ini akan mendapat sambutan memberangsangkan daripada orang ramai disamping mampu memberi kesedaran, kefahaman dan penghayatan terhadap Rukun Islam ke-5 itu.
Pertandingan ini dibahagikan kepada tiga (3) kategori iaitu:
1) Kategori ‘Memoir Silam Tanah Suci’ – merangkumi gambar lama (hitam putih) sebelum tahun 1970. Gambar tersebut hendaklah mempunyai imej samada pengirim, ibubapa, datuk/nenek, saudara-mara atau kenalan si pengirim.
2) Kategori ‘Kenangan Tanah Suci’ – merangkumi gambar berwarna selepas tahun 1980 dan di dalam gambar tersebut juga perlu mempunyai imej samada pengirim, ibubapa, datuk/nenek, saudara-mara atau kenalan si pengirim.
3) Kategori ‘Warna-warni Tanah Suci’ – kategori ini adalah terbuka dan memperlihatkan kreativiti pengirim.
Pertandingan ini menawarkan hadiah lumayan berupa wang tunai berjumlah keseluruhan RM33,000.00. Pemenang akan diadili berdasarkan pematuhan kepada tema pertandingan, terma dan syarat, kreativiti dan teknik fotografi yang terbaik. Pemenang bagi setiap kategori, bakal menerima:
- Tempat pertama : Wang tunai RM5,000.00
- Tempat kedua : Wang tunai RM3,000.00
- Tempat ketiga : Wang tunai RM1,000.00
- 10 x hadiah saguhati berupa wang tunai RM 200-00 (setiap satu)
Pemilihan Harian Metro sebagai rakan kerjasama strategik untuk menganjurkan pertandingan sedemikian adalah berdasarkan pengalaman dan kebolehupayaan akhbar tersebut serta sokongan daripada Kumpulan NSTP untuk menguruskan perjalanan pertandingan daripada semua aspek.
Sebahagian daripada gambar-gambar penyertaan pertandingan Fotografi ini akan dipamerkan pada Pameran Haji dan Fotografi yang akan berlangsung di Muzium Kesenian Islam, Kuala Lumpur pada 20 August – 20 Novmber 2013.
- Tamat -