KUALA LUMPUR, 11 Jun 2020 – Lembaga Tabung Haji (TH) akan menangguhkan semua urusan berkaitan operasi haji bagi Musim Haji 1441H/2020M selaras dengan keputusan Kerajaan Malaysia untuk tidak menghantar jemaah haji negara ke Tanah Suci atas faktor keselamatan dan kesihatan.
Keputusan ini dibuat setelah YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan keputusan Kerajaan Malaysia untuk menangguh penghantaran jemaah haji dari Malaysia ke Tanah Suci ekoran penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia termasuk di Arab Saudi.
Penularan wabak Covid-19 telah menimbulkan risiko kesihatan awam yang serius di seluruh dunia. Wabak ini telah menjangkiti lebih 7.4 juta orang manakala lebih 418 ribu telah terkorban.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, YBhg Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, keputusan Kerajaan Malaysia untuk menangguhkan pemergian kira-kira 31,600 jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci pada tahun ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan yang amat mengambil berat aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat.
“Sehubungan dengan penangguhan ini, semua bakal haji yang giliran haji diperuntukkan pada musim haji tahun 2020 akan diberi keutamaan untuk menunaikan fardu haji pada tahun 2021. Bagi bakal haji yang gilirannya adalah pada tahun 2021, mereka akan turut diberi peluang tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa,” tambah beliau.
Semua bayaran haji yang telah didebit akan dipulangkan semula mengikut kadar penuh ke dalam akaun TH bakal haji masing-masing dalam masa terdekat. Jumlah bayaran haji tersebut juga layak menerima agihan keuntungan bagi tahun 2020.
TH memohon semua bakal haji untuk bersabar serta menerima keputusan ini dengan reda dan terus berdoa agar keadaan kembali pulih bagi membolehkan urusan haji diteruskan pada tahun hadapan.
Dilampirkan soalan-soalan lazim berkaitan dengan perkara di atas.
Tamat