KUALA TERENGGANU, 7 JUN 2018 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini membayar zakat berjumlah RM 4,516,921.10 bagi tahun kewangan berakhir 2017 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu dalam satu majlis ringkas di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.
Duli Yang Maha Mulia Al-Watiqu Bilah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu telah berkenan menerima bayaran zakat ini daripada YBhg. Dato’ Badlisyah Abdul Ghani, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH. Pembayaran zakat bagi negeri Terengganu ini mencatatkan peningkatan sebanyak 13.72% berbanding RM 3,971,912.54 (2016).
“Saban tahun TH sentiasa melaksanakan bayaran zakat pada permulaan tahun agar wang tersebut dapat dimanfaatkan ke arah kemampanan programprogram zakat yang dirangka dan disasarkan kepada golongan asnaf miskin yang layak. TH amat mengutamakan aspek kelestarian ekonomi ummah dan dengan bayaran zakat ini dapat membantu meningkatkan lagi kegiatan ekonomi golongan asnaf,” kata YBhg. Dato’ Badlisyah Abdul Ghani, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH.
Jumlah keseluruhan bayaran zakat TH 2017 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 12.14% (RM67.6 juta) berbanding tahun sebelumnya, RM60.3 juta (2016). Dengan kenaikan ini, TH akan meningkatkan lagi program pengagihan zakat secara terus kepada asnaf-asnaf di seluruh negara melalui program-program tanggungjawab sosial korporatnya. Program-program ini diharapkan dapat memberi manfaat secara terus kepada lebih ramai golongan sasar.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah YB Dato’ A Rahman Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu; YBhg. Dato’ Dr. Haji Zulkiply Bin Muda, Sahibus Samahah Mufti Negeri Terengganu; YBhg. Dato’ Haji Osman bin Muda, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu; YBhg Dato’ Mohyen bin Mosman, Pengarah TH Negeri Terengganu; pegawai-pegawai MAIDAM dan anggota-anggota TH.
-Tamat-