Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mempersembahkan Zakat TH berjumlah RM 4,597,045.24 bagi tahun kewangan berakhir 2018 ke hadapan KDYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah, Kuantan.
KDYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong telah berkenan menerima bayaran Zakat TH daripada YBhg. Dato’ Sri Zukri bin Samat, Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif TH. Bayaran zakat bagi negeri Pahang ini mencatatkan peningkatan sebanyak 25.7% berbanding tahun 2017 (RM 3,657,354.30).
“TH sentiasa mengutamakan aspek kelestarian ekonomi ummah dan pembayaran zakat bagi meningkatkan kebajikan masyarakat dan membantu meningkatkan kegiatan ekonomi golongan asnaf. Di samping memperkasakan kewangan Islam dan pembangunan sosio-ekonomi ummah,” kata Dato’ Sri Zukri bin Samat.
TH berharap pembayaran zakat ini dapat dimanfaatkan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang ke arah kemampanan program-program zakat yang dirangka di negeri Pahang bagi kelestarian ekonomi golongan asnaf, tambahnya lagi.
Jumlah keseluruhan bayaran Zakat TH 2018 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 26.6% (RM85.57 juta) berbanding tahun 2017 (RM67.61 juta).