Kuala Lumpur, 24 April 2013 - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan sumbangan berjumlah RM109,614.00 kepada Tabung Wira Lahad Datu Media Prima untuk disalurkan kepada keluarga wira-wira negara yang telah terkorban semasa mempertahankan kedaulatan negara dalam Operasi Daulat di Sabah baru-baru ini.
Majlis penyerahan cek sumbangan Tabung Wira Lahad Datu Media Prima telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH dan disampaikan kepada Y.Bhg. Datuk Amrin Awaluddin, Pengarah Urusan Kumpulan, Media Prima Berhad dalam satu majlis di Sri Pentas, Bandar Utama.
Jumlah keseluruhan sumbangan RM109,614.00 ini terdiri daripada sumbangan TH berjumlah RM100,000.00, manakala RM9,416.00 adalah terdiri daripada hasil kutipan sumbangan orang ramai yang dijalankan oleh Surau TH, Kuala Lumpur dan pejabat TH Pantai Timur.
Sebagai sebuah entiti korporat yang bertanggungjawab dan prihatin, TH telah mengambil inisiatif untuk menghulurkan sumbangan sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan dan jasa wira-wira negara dalam mempertahankan kedaulatan tanah air. Sumbangan ini juga bertujuan untuk meringankan beban keluarga wira-wira negara berkenaan.
TH juga turut mengambil inisiatif akan menghulurkan sumbangan berbentuk pelaksanaan Badal Haji (Upah Haji) untuk wira negara beragama Islam yang terkorban dan belum berkesempatan menunaikan rukun Islam ke-5. Wira-wira negara tersebut adalah :
- KPL Ahmad Hurairah Bin Ismail
- KPL Mohd Azrul Tukiran
- SJN Salam Tugiran
- SJN Sabaruddin Daud
- SM Baharin Hamit
- SM Abd. Azis Sarikon
- ASP Zulkifli Mamat
Kos keseluruhan pelaksanaan Badal Haji berjumlah RM17,500.00 akan dibiayai sepenuhnya oleh TH dan ditunaikan pada musim haji 1434H / 2013 ini. Keluarga serta waris wira-wira terbabit akan dimaklumkan mengenai pelaksanaan Badal Haji ini dalam jangkamasa terdekat dan sijil Badal Haji akan diserahkan kepada waris terbabit selepas tamat musim haji nanti.
Majlis penyerahan tersebut turut dihadiri dan disaksikan oleh Encik Mohamad Ariff bin Ibrahim, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Media Prima Berhad, pihak pengurusan kanan TH serta pegawai-pegawai Media Prima Berhad.
-Tamat-