Arau, Perlis, 17 April 2013 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat perniagaannya kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis berjumlah RM515,739.47.
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Negeri Perlis telah berkenan menerima zakat tersebut bagi pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH bertempat di Istana Arau, Perlis.
Pengagihan zakat TH ini adalah sebahagian daripada perolehan keuntungan pendapatan yang dicatatkan oleh TH untuk tahun kewangan 2012. Jumlah zakat untuk Negeri Perlis bagi tahun 2012 ini telah meningkat sebanyak 3% berbanding RM501,372.00 bagi tahun 2011.
Pembayaran zakat TH adalah berdasarkan kaedah modal kerja terlaras yang dilaksanakan mengikut pengiraan tahun kewangan semasa. Jumlah keseluruhan zakat perniagaan TH untuk tahun kewangan 2012 yang akan dibayar kepada negeri-negeri di Malaysia adalah sebanyak RM41.2 juta.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut adalah Tuan Haji Abdul Malik bin Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, wakil Baitulmal MAIPs serta para pegawai TH.
- Tamat –
Tabung Haji Serah Zakat Perniagaan TH 2012 Kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis