ARAU, 6 April 2017 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat berjumlah RM600,527.89 bagi tahun kewangan berakhir 2016 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Isitiadat Melayu Perlis dalam satu majlis ringkas di Istana Arau, Perlis.
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis telah berkenan untuk menerima pembayaran zakat TH ini yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Badlisyah Abdul Ghani, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH dan disaksikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Tuanku Raja Muda Perlis.
YBhg. Dato’ Badlsiyah Abdul Ghani berkata sebagai sebuah institusi Islam, TH menekankan aspek kelestarian ekonomi ummah dan pembayaran zakat berperanan mempertingkatkan kebajikan masyarakat dan membantu meningkatkan kegiatan ekonomi golongan asnaf.
Pembayaran zakat kepada Pusat Pungutan Zakat di seluruh negara dilaksanakan agar wang tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan asnaf miskin yang layak, dan seterusnya membantu ke arah kemampanan program-program zakat yang bakal dilaksanakan oleh Pusat Pungutan Zakat Negeri-negeri,” kata beliau.
Jumlah keseluruhan pembayaran zakat TH 2016 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 1.69% (RM60.3 juta) berbanding tahun sebelumnya, RM59.3 juta (2015). Dengan kenaikan ini, TH akan meningkatkan lagi program pengagihan zakat secara terus kepada asnaf-asnaf di seluruh negara melalui Program Iqra’, Program 2 Ehsan, Program Baiti dan Program Mobiliti. Program-program tersebut diharapkan dapat memberi manfaat secara terus kepada lebih ramai golongan sasar.
Turut hadir dalam majlis ini adalah YB Dato’ Seri Azlan bin Man, Menteri Besar Perlis; YB Tuan Haji Khairi bin Hasan, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Agama; Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Kerajaan Negeri Perlis; Tuan Haji Mohd Nazim bin Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, pegawai-pegawai MAIPs dan TH.
-Tamat