KUALA LUMPUR, 27 FEBRUARI 2025 – Lembaga Tabung Haji (TH) telah menandatangani Perjanjian Penerbangan Haji selama lima tahun bersama Malaysia Airlines Berhad (MAB) bagi menyediakan perkhidmatan penerbangan carter haji bermula musim haji 1446H sehingga 1450H (2025-2029).
Perkhidmatan penerbangan carter haji itu akan diuruskan oleh penyedia penerbangan umrah dan haji, Amal by Malaysia Airlines.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata kerjasama berterusan antara TH dan Amal by Malaysia Airlines merupakan hasil daripada prestasi cemerlang Amal by Malaysia Airlines yang telah membuktikan dedikasi dan keupayaan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji negara.
“Kecekapan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Amal by Malaysia Airlines dalam memastikan perjalanan haji berjalan lancar serta perhatian teliti yang diberikan terhadap keselesaan dan kesejahteraan jemaah haji negara menjadi pendorong utama pemilihan Amal by Malaysia Airlines sebagai penyedia penerbangan sewa khas haji bagi lima (5) tahun akan datang bermula tahun 2025 sehingga tahun 2029,” kata beliau.
“TH ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas prestasi yang memberangsangkan yang ditunjukkan oleh Amal by Malaysia Airlines dengan rekod penilaian prestasi yang cemerlang sebanyak 98% pada musim haji tahun lepas,” tambah beliau.
Majlis menandatangani perjanjian penerbangan carter haji ini telah diadakan di Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dan telah ditandatangani oleh Ketua Jabatan Haji TH, Mohd Hisham Harun, bersama Ketua Pegawai Operasi Amal by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor, serta disaksikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Amal by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor berkata, syarikat penerbangan itu kekal komited dalam menyediakan perkhidmatan penerbangan yang selamat dan lancar bagi memastikan para jemaah dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna.
“Sejak penubuhan Amal pada tahun 2019, perkhidmatan diberikan untuk ‘menyantuni dhuyufurrahman’ ini menjadi matlamat utama bagi kami. Menguruskan perjalanan jemaah haji negara merupakan satu penghormatan yang amat kami banggakan dan kami terus komited untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan bagi memberikan pengalaman yang terbaik kepada bakal-bakal haji pada musim ini dan musim akan datang,” kata beliau.
Sebanyak 50 peratus daripada jumlah keseluruhan 31,600 jemaah haji Malaysia akan diterbangkan terus oleh Amal by Malaysia Airlines secara berperingkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah dan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz Madinah.
Penerbangan pertama ke Tanah Suci bermula dari 29 April hingga 20 Mei 2025. Manakala, penerbangan pulang dari Tanah suci bermula dari 14 Jun hingga 10 Julai 2025.
-TAMAT-