"Pengurusan Lembaga Tabung Haji (" TH ") amat kecewa atas serangan yang berterusan terhadap TH oleh sesetengah pihak yang sentiasa memberi penekanan berunsur negatif tentang organisasi ini. Kami berpendapat seranganserangan ini adalah bermotifkan politik dan walaupun tidak tepat, boleh memberi kesan kepada pendeposit. Fokus utama TH adalah sentiasa memastikan pencapaian terbaik dalam pengurusan haji, perniagaan dan pelaburan mengikut prinsip-prinsip Islam, demi kepentingan pendeposit.
Kami tidak akan membenarkan organisasi ini dipaksa untuk memberi penjelasan berulang kali dan menghabiskan masa mempertahankan kedudukan atas serangan-serangan negatif yang tidak tepat dan berasaskan analisa cetek. Tanggungjawab TH jauh lebih besar terhadap pendeposit kami iaitu memastikan pengurusan operasi haji dan pengurusan dana dilaksanakan dengan berkesan melalui Tadbir Urus Korporat dan amalan perniagaan yang baik serta mengutamakan integriti, akauntabiliti dan ketelusan.
TH menjalankan pelaburannya selaras dengan dasar Alokasi Aset Strategik (Strategic Asset Allocation), iaitu: Ekuiti, Pendapatan Tetap, Hartanah dan Pasaran Tunai. Sebagai pengurus dana yang memberi penekanan kepada pelaburan jangka panjang, TH mengambil pendekatan kepelbagaian portfolio pelaburan yang mensasarkan peluang pelaburan yang boleh menjana pendapatan berulang secara mampan serta mempunyai daya ketahanan risiko.
Selama ini, hasil yang diperolehi dari pelbagai pelaburan TH telah membolehkan kami menampung peningkatan kos operasi haji serta terus memberi subsidi haji kepada jemaah haji Malaysia setiap tahun. Subsidi haji dijangka meningkat kepada lebih kurang RM200 juta pada tahun ini (2017). TH telah memberi subsidi haji semenjak tahun 2000 dan kami yakin dengan kestabilan kewangan dan daya tahan TH akan terus membolehkan kami memenuhi matlamat penubuhan kami untuk kebaikan semua pendeposit TH dan jemaah haji Malaysia yang mahu melaksana dan melengkapkan rukun Islam ke-5.
Walau bagaimanapun, dalam setiap portfolio pelaburan mesti ada sebilangan kecil pelaburan yang tidak berdaya saing atau tidak menguntungkan pada sesuatu masa manakala sebahagian besar daripada pelaburan membawa keuntungan yang baik. Ini adalah kerana setiap pelaburan yang dibuat tertakluk 2 kepada keadaan pasaran yang tidak menentu. Malah, di dalam aktiviti pelaburan semestinya ada risiko yang tidak dapat dihindari sepenuhnya oleh sesiapapun. Sesebuah syarikat dana pelaburan tidak seharusnya dinilai melalui pelaburan yang gagal atau tidak menguntungkan tanpa mengambil kira pelaburan yang berjaya dan menguntungkan di dalam portfolionya. Pendekatan pelaburan TH adalah berlandaskan perspektif “foresight” dan bukannya “hindsight” yang digunapakai oleh segelintir pengkritik. Perspektif ini memerlukan kami membuat keputusan pelaburan berdasarkan maklumat sedia ada secara dinamik dan bila perlu menilai semula keputusan tersebut bila sesuatu berlaku di masa hadapan. Pengalaman dan ketelitian TH dari segi pelaburan serta pematuhan kepada panduan pelaburan yang ketat juga merupakan faktor yang membolehkan kami mengenalpasti risiko dan mengambil tindakan sewajarnya dalam mengurangkan tahap risiko.
Malangnya ramai yang terpengaruh dengan hasutan pihak tertentu, yang sentiasa menonjolkan pelaburan yang kurang mapan dan menolak ke tepi banyak pelaburan lain yang membawa keuntungan. Setiap tahun sejak penubuhannya, TH telah mencatat prestasi kewangan yang menguntungkan walaupun terdapat kerugian dalam beberapa kaunter pelaburan. Bagi pelaburan-pelaburan yang rugi TH telah membuat peruntukan dan rosot nilai berhemat seperti yang digariskan oleh piawaian kewangan dan perakaunan. Walaubagaimanapun, kami masih mencatatkan keuntungan dan mampu memberi pulangan kepada pendeposit. Dalam hal ini, TH juga telah mengambil langkah hemat yang sama untuk pelaburannya dalam industri minyak dan gas, yang sedang melalui kegawatan yang serius di peringkat global sejak 2015.
Pelaburan TH di dalam industri minyak dan gas merupakan satu pelaburan jangka panjang. Kami mula melabur dalam sektor ini sejak tahun 2001 dan telah mencatat pendapatan terkumpul sebanyak RM1.06 bilion. Kebanyakkan daripada pelaburan telah dibuat dalam syarikat-syarikat kukuh dan berdayamaju milik Bumiputera tempatan yang melaksana dan menyediakan perkhidmatan utama kepada syarikat petroleum nasional untuk membantu mengurangkan kebergantungan negara kepada syarikat-syarikat minyak dan gas asing. TH menganggap sektor ini sebagai industri yang mempunyai kepentingan strategik nasional. Kerugian “mark-to-market” jangka pendek atau jangka sederhana yang belum direalisasi (unrealised losses) tidak akan mengubah selera dan komitmen TH untuk terus melabur di dalam sektor ini.
Apa yang lebih penting kepada semua adalah untuk memahami kontrak simpanan di TH yang berdasarkan konsep 'Al Wadiah Yad Dhamanah' di mana simpanan pendeposit dijamin sepenuhnya oleh Kerajaan. Dalam masa yang sama, semua simpanan disokong oleh aset portfolio TH yang seimbang.
Dalam konteks ini, sebarang dakwaan bahawa pendeposit akan mengalami risiko kehilangan wang simpanan mereka adalah tidak benar dan berunsur fitnah. Tindakan tidak bertanggungjawab ini yang bertopengkan pendekatan melindungi kepentingan masyarakat adalah gimik politik semata-mata yang 3 mencerminkan kekurangan pengetahuan dan kefahaman tentang konsep simpanan berlandaskan syariah di TH.
TH sekali lagi ingin menegaskan bahawa kedudukan kewangannya kekal kukuh dan simpanan pendeposit terjamin menurut konsep simpanan Al Wadiah Yad Dhamanah, seperti yang termaktub di dalam Akta Tabung Haji. Juga diingatkan, niat asal simpanan di TH bukanlah hanya untuk mendapat pulangan tetapi keutamaan seharusnya diberikan kepada keinginan menyempurnakan Rukun Islam kelima dan mendapatkan barakah di dunia dan akhirat.
Akhir kata, selain daripada pulangan dan barakah, ada banyak lagi manfaat menyimpan dengan TH seperti ketenteraman mengetahui bahawa semua urusan adalah berlandaskan syariah dan dari sumber yang halal, zakat telah dibayar, akses kepada lebih dari 8000 jaringan perkhidmatan (customer touchpoints) diseluruh negara, tiada had transaksi dan banyak lagi.
BAHAGIAN HAL EHWAL AWAM DAN KOMUNIKASI KORPORAT KUMPULAN LEMBAGA TABUNG HAJI
– TAMAT –